suria

Akhirnya selepas 12 tahun, hero cilik Lombok mendengar buat pertama kali

Taufik (kanan), hero cilik Lombok yang mengalami kekurangan tidak boleh mendengar dan bertutur. Foto The Jakarta Post/ANN

SETELAH 12 tahun hidup dalam keadaan tidak mampu mendengar kerana dilahirkan pekak dan bisu, hero cilik Lombok, Taufik akhirnya memberi reaksi pertama setelah dipakaikan alat bantu dengar oleh Pakar Bedah Telinga Hospital KPJ Tawakkal, Prof Datuk Dr Lokman Saim.

Alat yang dibawa khas dari Kuala Lumpur dikenali sebagai Bone Anchored Hearing Aid (BAHA) dipakaikan kepada Taufik setelah Dr Lokman membuat imbasan akhir terhadap laporan kesihatan kanak-kanak Indonesia itu di Rumah Sakit Umum (RSU) Daerah Nusa Tenggara Barat.

"Kita lihat Taufik memberi reaksi terhadap bunyi tepukan dan berpaling ke arah saya dan menganggukkan kepala tanda dia mendengar bunyi yang dihasilkan. Ini satu petanda positif.

"Telinga bagaian tengahnya kecil dan tulang dalam telinga tengah tidak normal. Namun koklea (telinga dalam) Taufik berfungsi dengan baik. Jadi prosedur BAHA lebih sesuai digunakan untuk pendengaran Taufik," katanya kepada Bernama News Channel (BNC) di Lombok, pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempa Lombok: Budak pekak bisu bantu rakyat Malaysia diangkat sebagai wira

ARTIKEL BERKAITAN: Taufik wira cilik gempa Lombok terima hadiah pendengaran daripada doktor Malaysia

Dr Lokman berkata, memandangkan Taufik tidak biasa mendengar bunyi dan tidak memahami sebarang bahasa, pembedahan untuk memasang implan BAHA tidak boleh dibuat terlebih dahulu.  

"Taufik sendiri tidak tahu namanya Taufik kerana sejak kecil dia tidak memberi reaksi terhadap bunyi. Jadi untuk memastikan pemasangan BAHA ini lebih efektif, Taufik akan dipakaikan BAHA yang bersifat sementara iaitu yang mempunyai getah untuk dililit pada kepalanya.

"Pemakaian BAHA sementara ini sekurang-kurangnya selama enam bulan bagi melihat perkembangan pendengaran dan tutur bahasa. Setelah menunjukkan tanda positif, barulah implan akan ditanam di tulang belakang telinga," ujarnya.

Katanya, sebarang tindak balas Taufik sepanjang enam bulan ini akan dipantau oleh doktor di rumah sakit berkenaan secara berkala selain sesi terapi pertuturan.

Sebelum ini, BNC mengikuti misi kemanusiaan #peduligempalombok melaporkan mengenai Taufik yang dinamakan sebagai ikon ‘hero cilik' oleh GPM Malaysia setelah menyelamatkan enam rakyat Malaysia yang menjadi mangsa gempa bumi di Air Terjun Tiu Kelep di Senaru, Lombok, 17 Mac lalu.

Dalam kejadian gempa bumi itu, dua rakyat Malaysia iaitu Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Akhbar Sin Chew Daily, Datin Tai Siew Kim dan seorang lagi peserta dikenali sebagai Lim Sai Wah dilaporkan maut.

Dalam pertemuan itu, Dr Lokman yang juga Naib Canselor KPJ Healthcare University College, turut menyampaikan kuliah perdana kepada sekumpulan doktor dan jururawat.  

Turut hadir, Pengarah RSU, Dr Lalu Hamzi Fikri, Ketua Perhimpunan Ahli Telinga Hidung dan Tekak Nusa Tenggara Barat, Dr Hamsu Kadriyan dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata, GPM telah menggerakkan kutipan dana bagi membantu Taufik sejak seminggu lalu. - Bernama

Dr Lokman Saim, Taufik, Lombok

Artikel Lain