suria

Belalai air Tanjung Tokong rosakkan 50 kediaman, jejaskan perniagaan

SEKURANG-kurangnya 50 buah rumah di kawasan Tanjung Tokong di George Town, Pulau Pinang mengalami kerosakan dan dimasuki air selepas dibadai belalai air dan hujan lebat tengah hari Isnin.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang berkata dalam kejadian kira-kira pukul 1.35 tengah hari itu, belalai air dari arah laut masuk ke kawasan sekitar kawasan Tanjung Tokong itu menyebabkan bumbung dan atap rumah berterbangan dan beberapa batang pokok tumbang.

"Sehingga ini tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang cedera dalam kejadian ribut kira-kira 15 minit itu dan pihak kami sedang giat membersihkan serpihan struktur yang rosak akibat kejadian tersebut," katanya dekat George Town.

Sementara itu, seorang penduduk Nona Khalid, 75, berkata semasa kejadian dia sedang menunggu dua orang cucunya baru balik sekolah apabila angin ribut bertiup secara tiba-tiba dan beliau dapat melihat belalai air dari laut itu menghampiri rumahnya.

"Angin itu berbunyi kuat dan mak cik nampak sebahagian bumbung rumah turut diterbangkan angin.. memang takut sangat dan ini kali pertama berlaku sepanjang mak cik tinggal di sini sejak 50 tahun lepas,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Seorang lagi mangsa Aisyah Hashim, 64, pula berkata kejadian itu berlaku sewaktu dia sedang bersiap untuk solat Zohor dan beliau terus keluar dari rumahnya kerana bimbang ditimpa bumbung atau kayu dalam rumah berkenaan.

Peniaga goreng pisang, Zaleha Mat Zain, 52, berkata dia sempat melarikan diri ke kawasan masjid dan hanya mampu melihat gerainya musnah dilanda ribut itu.

"Saya bersyukur kerana selamat dalam kejadian ini walaupun barang jualan saya seperti pisang dan ubi rosak kerana dibasahi air hujan," katanya, sambil menambah lebih 10 buah gerai lain turut musnah dalam kejadian itu.

Seorang peniaga laksa, Azizah Azizan, 63, berkata, dia telah bersiap sedia untuk membawa laksa ke gerainya di pasar tersebut ketika belalai air itu melanda.

"Rumah saya terletak berhampiran pasar dan saya nampak gerai saya telah rosak diterbangkan angin. Laksa yang dimasak hari ini saya akan sedekahkan kepada pihak masjid sahaja kerana tidak dapat berniaga hari ini," katanya. - BERNAMA

belalai air, Tanjung Tokong

Artikel Lain