suria

Penunggang maut digilis selepas motosikal terbabas

Gambar hiasan.

SEORANG penunggang maut selepas motosikal yang dinaikinya terbabas sebelum dia digilis beberapa kenderaan lain dalam kejadian di Km248.4 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara berhampiran Hentian Rehat Senawang, awal pagi Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan Supt Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata dalam kejadian 5.30 pagi itu, Mazlan Masripan, 49 maut di lokasi selepas dia dipercayai terbabas sendiri dan dilanggar oleh kenderaan lain.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di jalan lurus, mempunyai tiga lorong dan cuaca gelap selepas hujan.

"Kemalangan berlaku ketika motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Melaka ke Kuala Lumpur dan berada di lorong paling kiri itu hilang kawalan lalu terbabas, menyebabkan dia jatuh di atas jalan raya,” katanya.

Menurutnya polis percaya keadaan yang gelap menyebabkan pemandu kenderaan lain tidak nampak mangsa di atas jalan lalu menggilisnya menyebabkan kecederaan parah pada mangsa.

“Beberapa kenderaan lain yang ternampak objek di atas jalan, dipercayai cebisan tubuh mangsa, cuba mengelak menyebabkan mereka juga terbabas,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk dibedah siasat dan kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

terbabas, kemalangan, maut

Artikel Lain