PERTUDUHAN terhadap wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong yang sebelum ini didakwa membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam dipinda kepada tuduhan yang lebih ringan iaitu mencederakan lelaki itu. Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azmi Ariffin Shah Alam pada Isnin bahawa pendakwaan telah meminda pertuduhan bunuh terhadap wanita itu menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera. Seksyen 324 itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut manakala Seksyen 302 memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Doan, 30, mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif itu dan mahkamah menangguhkan prosiding sebelum menjatuhkan hukuman terhadap wanita tersebut yang diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik. Dia didakwa bersama-sama empat lagi yang masih bebas dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Kim Chol dengan menggunakan bahan yang berbahaya kepada tubuh badan apabila dimasukkan ke dalam saluran darah iaitu racun VX. Wanita itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Februari 2017. Ketika prosiding, Doan yang memakai skaf, kelihatan tenang dalam kandang tertuduh sambil memandang kepada beberapa lelaki termasuk bapanya dan pegawai daripada kedutaan Vietnam yang hadir pada prosiding itu. Pada 11 Mac lepas, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah, 26, warga Indonesia daripada pertuduhan membunuh Kim Chol. Pada Mac lepas, Doan melalui peguamnya mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi mengkaji pertuduhan bunuh itu tetapi ia ditolak. Pada 16 Ogos 2018, mahkamah memerintahkan Siti Aisyah dan Doan membela diri atas pertuduhan membunuh Kim Chol. Sebelum ini mereka didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas klia2 pada 9 pagi, 13 Feb 2017 menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- BERNAMA