suria

Hina Agong: Bekas pengurus jualan akan fail permohonan semakan

Jejaka itu didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V (gambar).

PIHAK pembelaan yang mewakili bekas pengurus jualan di sebuah syarikat swasta, Eric Liew Chee Ling, yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V, akan memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi berhubung isu perlembagaan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Adam Mohamed@Mamat ketika sebutan semula kes itu pada Selasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur M. M. Edwin Paramjothy.

Terdahulu, Adam berkata permohonan pembelaan itu adalah berhubung isu perlembagaan mengenai Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan mahkamah menetepkan 16 April untuk sebutan semula kes.

Liew, 45, yang diwakili peguam New Sin Yew masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula kepadanya.

Pada 11 Februari lepas, Liew didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profile Facebook ‘Eric Liew' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-15, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, antara pukul 7.01 malam dan 9.23 malam, 6 Januari lepas.

Komen Liew itu kemudian dibaca pada 6 Januari lepas, pukul 8 malam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, D5, Jabatan Siasatan Jenayah, Tingkat 2, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Dang Wangi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.- BERNAMA

Artikel Lain