PEMANDU bas yang terbabit nahas sehingga mengakibatkan 11 kematian, termasuk dirinya tersilap masuk susur bulatan. Ketua Polis KLIA, Asisten Komisoner Zulkifli Adamshah berkata, pemandu berusia 43 tahun itu sepatutnya mengambil susur masuk ketiga (arah pukul tiga pusingan jam) di bulatan, tetapi sebaliknya memasuki susur kedua (arah pukul 12 pusingan jam). "Dia sepatutnya masuk pukul tiga yang menghala ke MAS Kargo, bagi menghantar pekerja-pekerjanya, tetapi dia tersilap masuk. "Kemalangan berlaku kira-kira 200 meter dari bulatan. Kita menyiasat mengapa dia mengambil susur masuk yang salah, sama ada dia tersilap atau tidak," katanya ketika dihubungi di Hospital Serdang di Serdang, Selangor pada Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: 10 maut ke tempat kerja, bas terjunam dalam longkang Pemandu itu, yang merupakan warga tempatan terbunuh bersama 10 penumpang, termasuk lima lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Nepal dan tiga wanita warga Indonesia. Selain itu, lima cedera parah, manakala yang lain cedera ringan dalam kejadian pada pukul 11.10 malam Ahad di Jalan S8 Pekeliling, dekat MASKargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor. "Pemandu itu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan trafik di bawah namanya dan lesen memandunya adalah sah. Bedah siasat sedang dijalankan. "Kita melihat semua aspek, termasuk keadaan bas dan pemandu, bagi menentukan punca nahas," katanya. Ketika kejadian, bas tersebut membawa 43 penumpang yang merupakan pekerja kontrak MAS Kargo dari asrama mereka di Putra Nilai, Negeri Sembilan untuk ke tempat kerja. Seramai 34 penumpang dihantar ke beberapa hospital, termasuk Hospital Kajang, Serdang dan Putrajaya untuk menerima rawatan. - The Star