suria

Bersatu sudah ada calon MB Johor - Muhyiddin

Muhyiddin Yassin.

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai beberapa nama untuk dipersembahkan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi diangkat sebagai menteri besar, kata Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mungkin dua atau tiga calon,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai calon Menteri Besar Johor selepas Datuk Osman Sapian melepaskan jawatannya pada Isnin lepas.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri, ditemui selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Subang, dekat Petaling Jaya pada Khamis.

Ditanya mengenai perbahasan berhubung kuasa memilih menteri besar, Muhyiddin berkata isu tersebut tidak sepatutnya dibahaskan kerana setiap negeri termasuk Johor mempunyai undang-undang tubuh negeri yang turut memperuntukkan tentang pelantikan menteri besar.

“(Peruntukan) Ini bukan baharu kerana ia sudah zaman-berzaman dikuatkuasakan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan Umno Johor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan, Muhyiddin berkata perkara tersebut tidak timbul kerana sebarang cadangan membubarkan DUN harus dibuat oleh kerajaan bukan barisan pembangkang.

Ditanya tentang cadangan beliau kembali menerajui kerajaan Johor, Muhyiddin yang juga Anggota DUN Gambir, berseloroh: “Saya sudah tua.”

Bagaimanapun katanya beliau bersedia membantu pentadbiran kerajaan negeri dan berkongsi pengalamannya sewaktu menjadi Menteri Besar Johor.

“Saya dah pernah jadi menteri mesar, saya fikir tidak wajar saya kembali semula memegang jawatan itu tapi saya sedia membantu,” katanya. - BERNAMA

MB Johor, Muhyiddin Yassin, Bersatu

Artikel Lain