SEORANG pelajar universiti berusia 19 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah bas di Jalan Kampung Bandar Dalam, Sentul di Kuala Lumpur. Dalam kejadian pukul 12.50 tengah hari Rabu, mangsa, Nur Alia Abdul Razak menunggang motosikal dari Jalan Sentul ke Jalan Gombak ketika dia cuba memintas sebuah kereta. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur, Asistan Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mangsa bagaimanapun hilang kawalan sebelum motosikal yang ditungganginya terbabas. "Dia terjatuh ke lorong bertentangan sebelum bertembung sebuah bas, dia meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Rabu. Beliau menambah, keadaan jalan adalah rata dan kering, dan cuaca baik ketika kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kematian. - The Star