DUA warga tempatan disahkan cedera dalam insiden kebakaran di satu daripada lot tapak projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, dekat Kota Tinggi awal pagi Jumaat. Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah yang mengesahkan perkara itu berkata kejadian berlaku kira-kira 1.20 pagi Jumaat. Katanya, Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) dengan lima kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Petronas RAPID Pengerang dengan kekuatan 30 kakitangan telah diaktifkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan mengenai insiden itu. “Kebakaran dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.15 pagi tadi. “Kedua mangsa yang merupakan pengawal keselamatan itu, telah dirawat sebagai pesakit luar di Pusat Kecemasan Perubatan RAPID Pengerang,” katanya dalam satu kenyataan. Ahsmon berkata siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan akan dibuat bersama-sama Jawatankuasa Keselamatan Dan Sosial (Jaksas) Negeri Johor, Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah dan pihak Pengurusan Keselamatan Petronas RAPID Pengerang. “Pihak polis memuji tindak balas ERT Petronas RAPID Pengerang yang dapat mengawal sepenuhnya insiden terpencil ini dalam masa yang singkat,” katanya. Sementara itu, Petronas dalam satu kenyataan berasingan mengesahkan satu letupan dan kebakaran telah berlaku di Kompleks Bersepadu Pengerang. Bagaimanapun, siasatan sedang dijalankan. - BERNAMA