PASANGAN suami isteri bergelar Tan Sri dan Puan Sri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di ibu negara, Jumaat atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga pembantu rumah warga Indonesia antara 2012 hingga Mac lepas. Ahli perniagaan, K. Ketheeswaran, 58, dan isterinya Vivienne Ketheeswaran, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad. Ketheeswaran yang juga bekas Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dan isterinya didakwa bersama-sama memperdagangkan wanita berumur 25, 29, dan 41 tahun tersebut bagi maksud eksploitasi kerja paksa di sebuah rumah di Kajang dekat sini, antara Oktober 2012 hingga 21 Mac lepas. Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya pasangan suami isteri itu dibebaskan dengan jaminan RM50,000 setiap seorang bagi kesemua pertuduhan selain pasport mereka diserah kepada mahkamah. Peguam Shashi Devan yang mewakili kedua-dua tertuduh berkata anak-anak guamnya bersedia untuk membayar jumlah jaminan yang dicadangkan serta bersedia menyerahkan pasport kepada mahkamah. Roszianayati kemudian membenarkan pasangan suami isteri itu dibebaskan dengan jaminan RM50,000 serta seorang penjamin setiap seorang bagi kesemua pertuduhan selain memerintahkan mereka menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 3 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan penetapan tarikh perbicaraan. Media sebelum ini melaporkan tiga pembantu rumah warga asing itu melarikan diri dari sebuah banglo di Kajang, untuk mendapatkan pertolongan di kedutaan Indonesia selepas mendakwa ditampar dan ditumbuk majikan mereka.-- Bernama