suria

MB Johor baharu angkat sumpah hari ini

Antara nama yang disebut-sebut bakal mengisi kekosongan kerusi Menteri Besar Johor ialah Dr Sahruddin Jamal. Foto Bernama

TEKA-teki mengenai siapa yang bakal menerajui kepimpinan kerajaan negeri Johor selepas berita peletakan jawatan Datuk Osman Sapian dilaporkan Selasa lepas, bakal terjawab hari ini.

Istiadat penyerahan surat tauliah dan pengisytiharan pelantikan Menteri Besar Johor ke-17 akan berlangsung di Istana Serene di sini pagi Ahad, selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan melantik menteri besar baharu setelah menerima surat peletakan jawatan Osman pada Sabtu.

Istiadat pelantikan dijadualkan pada 9.30 pagi.

Desas-desus mengenai Johor bakal menerima menteri besar baharu bertiup kencang pada hujung minggu menjelang Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura yang berlangsung pada Isnin dan Selasa lepas namun dinafikan oleh pembantu Osman.

Bagaimanapun pada 9 April, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Osman, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju kerajaan negeri pimpinan PH itu selepas ini.

Yang nyata, kepimpinan PH di negeri ini dijangka masih diteruskan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali gus menunjukkan kesepakatan kepimpinan PH seperti yang telah dipersetujui ketika Pilihanraya Umum ke-14.

Menurut Osman pada satu sidang media pada Sabtu, ketika pertemuannya dengan Sultan Johor, baginda bertitah akan menetapkan beberapa syarat terhadap menteri besar baharu.   

Syarat-syarat itu dijangka perubahan besar dalam pembentukan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagaimana yang dititahkan oleh Sultan Ibrahim.

Antara nama yang disebut-sebut bakal mengisi kekosongan jawatan peneraju kerajaan negeri Johor ialah Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal yang ketika ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri.

Siapapun yang bakal dilantik, rakyat Johor khususnya mengharapkan menteri besar baharu itu akan membawa perubahan yang lebih baik kepada mereka dan negeri amnya. - Bernama

MB Johor, Dr Sahruddin Jamal

Artikel Lain