PENDUDUK kampung di Gopeng, Perak meminta agar polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang membuat operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mencari Mohd Ashraf Hassan atau Acap menangguhkan operasi tersebut buat sementara waktu. Penduduk kampung membuat permintaan itu kerana mahu menjalankan operasi mereka sendiri untuk mencari peserta ultra maraton itu yang hilang. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, penduduk kampung berharap agar mereka dibenarkan melakukan pencarian mereka sendiri. "Kita diberitahu kes yang sama pernah berlaku sebelum ini. Penduduk kampung berjaya mencari orang yang hilang, menggunakan cara mereka," katanya kepada pemberita semasa mengadakan pusat operasi SAR Kampung Pintu Padang di Gopeng, pada Selasa. Zuraida berkata, beliau bersetuju dengan permintaan penduduk kampung. "Perbincangan antara polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat akan diadakan untuk menentukan bila dan berapa lama kita patut menangguhkan operasi," katanya. Mohd Ashraf Hassan hilang semasa menyertai maraton Gopeng Ultra Trail pada 23 Mac lalu. Operasi SAR kini memasuki hari ke-25. Zuraida memberitahu, satu keputusan berhubung perkara tersebut akan dibuat pada Rabu. "Kita semua berharap Acap dapat ditemui selamat," katanya. - The Star