suria

Penganggur pukul isteri guna barbell selepas kahwin kali ketujuh

Seorang lelaki bertindak memukul isterinya menggunakan barbell.

SEORANG penganggur ditahan polis kerana memukul isteri dan anaknya menggunakan sebatang pengangkat besi atau barbell dalam satu pergaduhan di rumah mereka di Kg Tabanak di Lahad Datu, Sabah.

Ketua Polis Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek menyerang isterinya pada kira-kira pukul 6 petang Ahad lalu kerana lari dari rumah sebelum itu.

Menurut Mansor, mangsa berusia 26 tahun lari dari rumah kerana tidak tahan dengan sikap panas baran suaminya.

"Dalam kejadian itu, suspek menumbuk isterinya di kepala dan menendang pada muka sehingga mulut mangsa berdarah.

"Dia kemudian terus memukul mangsa menggunakan sebatang barbell dan melemparkan pemberat ke arahnya. Dia melakukan perkara yang sama kepada anaknya sendiri iaitu anak tiri mangsa.

"Kedua-dua mangsa cedera dan mengalami lebam akibat serangan itu," tambahnya.

Nasri berkata, kedua-dua mangsa lari menyelamatkan diri sebelum membuat laporan polis di balai polis Lahad Datu.

"Pihak polis menahan suspek pada pukul 10.45 malam Rabu lalu dan merampas alat yang digunakan untuk memukul mangsa," ujarnya.

Menurut Nasri, mangsa dan suspek baru berkahwin pada Februari lalu. Ia merupakan perkahwinan kedua mangsa dan yang ketujuh buat suspek.

"Mangsa seorang suri rumah, manakala suspek menganggur.

"Suspek pernah memukul mangsa sebelum ini, tetapi tidak dilaporkan sehinggar sekarang," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan. - The Star

penganggur, barbell

Artikel Lain