suria

Kumpulan Media Star rangkul 2 Hadiah Kewartawanan Malaysia, mStar peroleh saguhati

Pemenang dari Kumpulan Media Star Group Berhad di majlis Malam Wartawan Malaysia 2019 yang berlangsung di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. FOTO: Azlina Abdullah.

KUMPULAN Media Star Berhad memenangi dua kategori Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2018 pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2019 yang berlangsung di ibu negara pada Jumaat malam.

Wartawan Lee Chonghui dan pereka grafik Zulhaimi Baharuddin masing-masing merangkul Hadiah Wartawan Muda A. Samad Said dan Desain Halaman Pertama Terbaik.

Chonghui berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penyertaan, manakala Zulhaimi pula memenangi wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penyertaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerana Winter Sonata, rakyat Malaysia bergelar buruh haram, gelandangan

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia tahu risiko, tetapi tetap nak ke Korea Selatan

ARTIKEL BERKAITAN: Dilema si jelita kudung empat jari

Sementara itu, enam yang lain memenangi hadiah saguhati dalam kategori Infografik Terbaik, Kartun Editorial Terbaik, Kewartawanan Foto Cemerlang, Laporan Portal Berita Terbaik, Berita Video Terbaik dan Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang.

Portal berita mStar Online dinobatkan sebagai pemenang saguhati bagi kategori Laporan Portal Berita Terbaik.

Wartawan mStar, Nadia Shaiful Bahari dan juruvideo, Tuan Mohamad Hafis Tuan Ludin menerima anugerah itu menerusi beberapa siri laporan pendedahan mengenai rakyat Malaysia yang menjadi buruh haram di Korea Selatan.

Nadia bersama Pegawai Eksekutif Kandungan The Star, Rozaid Abdul Rahman (tengah) dan Tuan Hafis.

Laporan-laporan tersebut bertajuk Kerana Winter Sonata, rakyat Malaysia bergelar buruh haram, gelandangan; Rakyat Malaysia tahu risiko, tetapi tetap nak ke Korea Selatan; dan Dilema si jelita kudung empat jari.

Menerusi laporan tersebut, Nadia dan Tuan Mohamad Hafis telah ke negara K-pop itu selama seminggu untuk menyelami nasib rakyat negara ini yang mencari peluang kerja di sana tanpa sebarang dokumen sah.

Majlis yang diadakan di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebagai penyampai anugerah. 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas merangkap penaja Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2018, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Hadiah tertinggi dalam anugerah ini iaitu Kajai dimenangi oleh Ahmad Mustakim Zulkifli dan Luqman Ridhwan Mohamed Nor dari akhbar Kosmo!.

Mereka menerima RM30,000 beserta trofi.

Tokah Wartawan Negara pula diberikan kepada bekas Pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaafar.

Sementara itu, Nadia berkata, dia berharap anugerah tersebut dapat membuka mata masyarakat dan pihak kerajaan untuk menangani isu berhubung rakyat Malaysia yang dieksploitasi dan dianiayai di negara berkenaan dengan sewajarnya.

Kedua-dua mereka berjaya membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan.

Pada tahun ini, Institut Akhbar Malaysia (MPI) menerima sebanyak 267 penyertaan untuk dipertandingkan dalam 20 kategori.

Artikel Lain