suria

Gangguan emosi ibu hamil... jangan ingat bayi dalam kandungan tak terkena tempiasnya!

Masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan gangguan emosi boleh memudaratkan ibu hamil dan kandungannya.

UMUM mengetahui emosi ibu semasa sedang hamil sentiasa tidak stabil dan mudah sensitif kerana perubahan hormon.

Akibatnya mereka akan cepat berubah mood dan lebih mudah menangis.

Malah ibu hamil juga mudah terdedah kepada masalah kesihatan mental seperti kemurungan, depresi dan gangguan emosi yang disebabkan pelbagai faktor dalaman mahupun luaran, fizikal atau psikososial dan lain-lain.

Sebagai contoh isu perceraian di saat isteri sedang sarat mengandung antara faktor yang boleh memudaratkan kesihatan mental ibu hamil dan anak dalam kandungan.

Menurut Pakar Psikiatri dan Ahli MedTweetMY, Dr Ahmad Rostam Md Zin, ibu hamil yang mengalami lebih daripada dua peristiwa dan tekanan hidup mempunyai risiko tiga atau empat kali ganda berdepan masalah kesihatan mental berbanding wanita mengandung yang melalui kehidupan normal.

“Peristiwa dan tekanan kehidupan merujuk kepada perceraian, kematian, konflik rumah tangga, konflik dalam keluarga, masalah kewangan, hilang atau bertukar tempat dan sakit.

Dr Ahmad Rostam Md Zin.

“Dalam isu perhubungan dengan pasangan terutamanya kes perceraian boleh mengganggu emosi ibu hamil. Namun tidak semua mengalami masalah itu kerana ada yang ok tapi majoritinya tidak.

“Oleh itu, sepanjang tempoh kehamilan ibu harus sentiasa dibantu dan dijaga bukan sahaja dari sudut fizikal dan pemakanan sahaja, malah kerohanian serta psikologi emosi juga penting,” katanya kepada mStar.

Beliau berkata, masalah kesihatan mental dalam kalangan ibu hamil juga memberi implikasi kepada kelahiran bayi pra matang.

Penyakit post partum psychosis  atau gila meroyan hanya berisiko kepada ibu yang ada sejarah penyakit mental, sejarah post partum paychosis dalam kelahiran sebelum ini atau ada ambil dadah tertentu.

DR AHMAD ROSTAM MD ZIN.

Pakar Psikiatri dan Ahli MedTweetMY.

“Satu kajian di Perancis menunjukkan kebarangkalian kelahiran pramatang adalah lebih tinggi dalam kalangan ibu yang murung.

“Malah ibu juga akan melahirkan bayi yang mempunyai berat badan yang rendah dan seterusnya meningkatkan risiko kegagalan tumbesaran peringkat awalan,” katanya.

Tambahnya, masalah kesihatan mental tersebut turut mempengaruhi perlakuan anak yang bakal dilahirkan.

Masalah kesihatan mental ibu hamil juga boleh memberi kesan kepada anak yang bakal dilahirkan.

“Tekanan psikologi berupaya meningkatkan risiko melahirkan anak yang ada masalah seperti kuat meragam pada dua tahun pertama kelahiran.

“Hubungan ibu dan anak juga boleh terganggu oleh faktor kemurungan, kebimbangan yang tinggi dan masalah penggunaan bahan terlarang,” katanya.

Ditanya sama ada tekanan emosi berterusan boleh menyebabkan meroyan selepas bersalin, Dr Ahmad Rostam menafikan dakwaan itu.

“Penyakit post partum psychosis  atau gila meroyan hanya berisiko kepada ibu yang ada sejarah penyakit mental, sejarah post partum paychosis dalam kelahiran sebelum ini atau ada ambil dadah tertentu.

“Sebaliknya tekanan yang berterusan dan tak diurus akan sebabkan risiko post partum depression atau kemurungan selepas bersalin juga meningkat,” katanya.

Justeru beliau menyarankan agar ibu yang mengalami masalah kesihatan mental supaya mendapatkan nasihat pakar dan sokongan psikologi daripada orang sekeliling.

Ibu yang mengalami tekanan berterusan berisiko mengalami kemurungan selepas bersalin.

“Jika sakit tersebut tidak dirawat, ia memudaratkan kesihatan ibu serta bayi dalam kandungan dan selepas kelahiran.

“Seeloknya ibu hamil perlu terbuka dalam berkongsi perasaan dan menjaga pemakanan serta kesihatan fizikal,” katanya.

cerai, hamil, kesihatan, hormon, kandungan

Artikel Lain