DAKWAAN mengenai mana-mana pelancong asing yang mahu memasuki negara ini perlu menunjukkan bukti kemampuan berbelanja RM100 sehari mencetuskan pelbagai reaksi. Walaupun dakwaan itu dinafikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, tetapi segelintir rakyat negara ini bersetuju sekiranya satu ketetapan dirangka dari segi nilai perbelanjaan harian untuk pelawat asing bagi menangani kebanjiran pendatang asing tanpa izin (Pati). “Kalau buat macam tu pun ok supaya kita tahu mereka datang bukan bekerja secara haram tapi sekadar melancong,” kata seorang pengguna Facebook sambil merujuk kepada negara lain yang menetapkan jumlah perbelanjaan sebagai syarat kemasukan. ARTIKEL BERKAITAN: Pelancong asing dilarang masuk Malaysia kalau tak mampu belanja RM100 sehari? Ini jawab Jabatan Imigresen ARTIKEL BERKAITAN: Imigresen KLIA Berjaya Sekat Lebih 7,000 Pelancong Palsu ARTIKEL BERKAITAN: Taktik Baharu Warga Asing Terdesak Masuk Malaysia Secara Haram “Tu yang memang patut dibuat, bukan mai melancong dengan minta sedekah,” katanya. “Kalau miskin mai buat apa? Mengemis?,” soal seorang lagi mengenai kemampuan pelawat asing yang mahu berkunjung ke Malaysia. Malah, ada yang merujuk kepada aktiviti pelacuran membabitkan warga asing dan ditahan oleh Jabatan Imigresen kerana menyalahgunakan pas atau permit. “Bagus. Kalau tak, datang kebanyakannya memperdagangkan diri. Bawa duit Malaysia masuk negara dia. Rugi lah ini macam,” ujar seorang netizen. “Kalau tidak ramai yang hilang... masuk tak balik ke negara asal,” kata seorang netizen mengenai segelintir warga asing yang menetap lebih masa di negara ini. Antara komen netizen mengenai syarat kemasukan pelawat asing ke Malaysia. Namun, ada yang berpandangan bahawa semua pelancong dibenarkan masuk ke negara ini tanpa mengira sama ada mereka mempunyai bajet yang kecil atau besar. “Semua pelancong sepatutnya dialu-alukan di Malaysia sama ada mereka dengan bajet kecil atau bajet besar. Tambahan pula, penjaja kecil dan restoran mendapat manfaat daripada pelancong bajet kecil ni,” ujarnya. Pada Rabu, mStar melaporkan Jabatan Imigresen Malaysia menafikan ia menolak kemasukan mana-mana pelancong asing ke negara ini yang tidak dapat menunjukkan bukti kemampuan perbelanjaan RM100 sehari. Ketua Pengarahnya, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, ketetapan mengenai jumlah perbelanjaan untuk pelancong pernah dilaksanakan sebelum ini bagi negara-negara yang berisiko. “Sebelum ini, memang ada ketetapan jumlah perbelanjaan untuk pelancong dari negara yang dianggap berisiko seperti Bangladesh, tetapi tidak lagi dilaksanakan berikutan pelbagai kemudahan perbelanjaan selain wang tunai. “Jabatan Imigresen Malaysia tidak menetapkan jumlah perbelanjaan harian asalkan mempunyai bukti perbelanjaan mencukupi seperti wang tunai, kad kredit, kad debit dan kemudahan elektronik lain seperti alipay,” katanya kepada mStar. Khairul Dzaimee Daud. Foto Mohd Sahar Misni Walaupun tiada ketetapan jumlah perbelanjaan harian untuk pelancong, Khairul Dzaimee menegaskan bahawa pemeriksaan sentiasa dilakukan di semua pintu masuk utama negara. “Pegawai Imigresen di kaunter pintu masuk akan memeriksa tujuan kemasukan termasuk butiran lain seperti tempahan penginapan. Contoh kalau datang melawat saudara - di mana rumah saudaranya, siapa saudaranya,” katanya. Beliau berkata, pelawat asing yang diragui kemasukan mereka akan disaring menerusi pemeriksaan kedua di pejabat imigresen. “Pegawai Imigresen akan periksa sumber perbelanjaan pelawat asing bagi memastikan ia munasabah dan mencukupi. “Kita juga akan periksa dan hubungi hotel untuk pengesahan keberadaannya di Malaysia,” katanya mengenai pemeriksaan kedua di pejabat imigresen bertujuan untuk memastikan ketulenan pelawat asing selain melancarkan operasi di kaunter. Terdahulu, beliau memberitahu antara syarat kemasukan ke Malaysia adalah mempunyai pasport, dokumen perjalanan dan visa (bagi negara yang memerlukan visa) yang sah serta bukan imigran larangan. Pelawat asing yang ditolak kemasukan ke negara ini akan dikenakan Notis Penolakan Masuk atau Not To Land (NTL) notice. Sebanyak 331,752 NTL dikeluarkan kepada pelawat asing dari 2015 sehingga Februari 2019. Antara sebab penolakan masuk adalah masalah pasport, visa, imigran larangan termasuk kedatangan diragui seperti tidak mempunyai perbelanjaan yang munasabah sepanjang berada di Malaysia.