PENIAGA di sekitar Masjid Nabawi mempunyai pilihan sama ada menutup perniagaan mereka atau tidak sepanjang tempoh solat tarawih berlangsung. Menurut peniaga di Madinah, tiada arahan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi supaya menutup kedai mereka dan terpulang kepada peniaga sekiranya mahu berbuat demikian. Seorang peniaga kedai kurma, Umar Mohamad, 19, berkata, ada di antara peniaga tetap meneruskan perniagaan mereka ketika solat terawih berlangsung di Masjid Nabawi. ARTIKEL BERKAITAN: Tutup kedai makan, pergi tarawih: Nik Abduh, Annuar Musa minta tarik balik arahan “Bagaimanapun, ada juga yang mengambil keputusan menutup kedai. Mereka ini biasanya mahu turut serta bersolat tarawih,” katanya. Ketika ditanya tempoh peniaga menutup kedai, Umar berkata, tempoh diambil biasanya selepas empat rakaat solat tarawih. Namun begitu katanya, berlainan dengan solat fardu di mana kesemua peniaga mengambil keputusan menutup kedai. Ketika ditanya sama ada ia merupakan satu arahan kerajaan, Umar berkata, beliau tidak pasti. “Saya tak pasti sama ada tindakan menutup kedai untuk solat fardu ini wajib. Tapi memang sejak dulu peniaga biasa berbuat begini,” katanya. Seorang lagi peniaga, Muhammad Akhtar Abdullah, 27, mengakui tindakan menutup kedai ketika solat tarawih berlangsung bukan satu kewajipan. “Di sini ada peniaga yang tutup kedai tetapi ada juga yang teruskan. Biasanya mereka tutup kedai dalam satu atau dua jam. Selepas itu akan berniaga semula “ katanya. Menurutnya, ada peniaga tidak menutup kedai kerana pada tempoh itu masih ada ramai pelanggan yang datang. “Namun begitu, ada peniaga memikirkan tindakan menutup kedai lebih berkat. Apa pun terpulang kepada masing-masing,” katanya. - Sinar Harian.