suria

Gereja buka pagar, jadikan perkarangan tempat parkir kereta untuk pengunjung bazar Ramadan

Affandy bersama ahli keluarganya membuka gerai di bazar Ramadan tersebut.

SETIAP kali Ramadan, Gereja Mary Immaculate di Bukit Padang dekat Kota Kinabalu akan membuka pagarnya bagi membolehkan orang Islam dan bukan Islam yang mahu berkunjung ke bazar berdekatan untuk meletak kenderaan mereka.

Amalan sejak enam tahun lalu itu dilihat mudah tetapi memberi kesan menakjubkan.

Sikap itu menunjukkan toleransi pelbagai kaum di Sabah.

Seorang pengunjung, Mohd Zaki Harry Susanto berkongsi video yang menunjukkan kenderaan keluar masuk dari perkarangan gereja tersebut sebelum mereka dilihat pergi ke bazar Ramadan berdekatan.

"Ramadan yang indah di Sabah, gereja menghormati Ramadan Al-Mubarak dengan membenarkan perkarangannya digunakan sebagai tempat letak kereta pengunjung bazar," katanya dalam satu posting di media sosial disertai dengan satu rakaman video.

Peniaga Affandy Jani, 38, yang sudah dua kali berniaga di situ berkata tiada masalah untuk orang Islam dan bukan Islam di Sabah untuk melakukan aktiviti mahupun program berdekatan antara satu sama lain.

"Bersatu hati membawa rahmat," katanya.

"Saya yakin gereja dan peniaga saling memahami dan itulah sebab mengapa pagar gereja dibuka untuk sesiapa sahaja yang mahu meletakkan kenderaan mereka sebelum pergi ke bazar Ramadan," kata Monica Chong.

Junin Bebi, 82, berkata di Sabah semua orang tanpa mengira kaum dan agama adalah kawan dan juga keluarga.

"Saya melihat banyak perkara baik dan hubungan rapat dikalangan semua penduduk pelbagai agama di sini. Saya harap semangat ini akan kekal selamanya," katanya.

Gereja, bazar Ramadan, parkir kereta

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan