suria

Sultan Johor bertemu Ratu Elizabeth di England

Sultan Ibrahim berbual santai dengan Ratu Elizabeth II. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertemu dengan Ratu Elizabeth II semasa menghadiri Pertunjukan Kuda Windsor di Britain.

Baginda hadir ke acara tahunan di England itu yang dirasmikan Ratu Elizabeth II pada Jumaat, atas jemputan khas Raja Bahrain Raja Hamad Isa Salman Al-Khalifa.

Sultan Ibrahim bertitah baginda turut berbual santai bersama Ratu Elizabeth II mengenai minatnya terhadap sukan berkuda.

Perkara itu dikongsi Sultan Ibrahim dalam Facebook rasminya pada Sabtu.

Sultan Ibrahim hadir ke acara tahunan di Britain itu atas jemputan khas Raja Bahrain.

Pada pertemuan itu, Sultan Ibraim turut berkenan bertemu anak kedua Ratu Elizabeth II, Duke of York, Putera Andrew yang pernah berkunjung ke Johor sebelum ini.

Baginda bersama Putera Andrew menerangkan kepada Ratu Elizabeth mengenai pembangunan pesat Johor dalam pelbagai sektor yang menjadi tunjang ekonomi termasuk pertanian dan perindustrian.

Malah Sultan Ibrahim bertitah Johor menjadi destinasi pilihan beberapa syarikat British termasuk Dyson, pengeluar produk elektrik perumahan tersohor yang membina pusat kajian, reka bentuk dan pembangunan (RDD) di Senai.

"Beberapa institusi pendidikan berprestij dari Britain turut melebarkan sayap mereka ke Johor dengan menubuhkan kampus di negeri ini," titahnya.

Artikel Lain