suria

Riuh food truck Exim Bank-mStar kongsi nikmat, dekati komuniti sempena Ramadan

Exim Bank dengan kerjasama mStar mendekati masyarakat menerusi kempen kongsi nikmat sempena Ramadan. Foto Yap Chee Hong

BAGI menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini, pelbagai program dan aktiviti direncanakan oleh pelbagai pihak termasuk syarikat-syarikat korporat.

Begitu juga dengan Export-Import Bank of Malaysia Bhd (Exim Bank) yang memperkukuhkan lagi tanggungjawab sosial korporat (CSR) bank itu sepanjang tahun.

Trak makanan yang digunakan untuk mengagihkan juadah berbuka puasa kepada orang awam. Foto Yap Chee Hong

Menerusi kempen #kongsinikmat, Exim Bank dengan kerjasama Star Media Group Berhad melaksanakan projek yang lebih segar menggunakan trak makanan sepanjang Ramadan.

Pengerusi Exim Bank, Datuk Feizal Mustapha dan pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azhar Awang Kechil turut sama menyertai kempen tersebut.

Sambutan di luar jangkaan untuk kempen kongsi nikmat. Foto Yap Chee Hong

Feizal berkata, program berkenaan bertujuan untuk mendekati masyarakat bukan sahaja orang awam, bahkan golongan kurang bernasib baik.

"Bersama Star Media Group, kita memberi sumbangan berbentuk makanan dan minuman termasuk kurma sebagai juadah berbuka puasa.

"Program ini membolehkan kami mengeratkan hubungan antara bank dan komuniti secara meluas menggunakan pendekatan trak makanan ke beberapa lokasi," katanya.

Azhar (kiri) dan Feizal (dua, kiri) memberikan juadah berbuka puasa kepada orang awam. Foto Chang Tak Kong

Pada masa sama, Feizal mahu menunjukkan inisiatif CSR dapat dipelbagaikan dengan memupuk semangat memberi dan prihatin dalam kalangan masyrakat.

Sebanyak empat kempen #kongsinikmat, bermula di ibu pejabat Exim Bank di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 7 Mei, diikuti Pusat Jagaan Al-Fikrah di Kajang, Selangor, 9 Mei.

Kunjungan warga kerja Exim Bank dan Star Media Group yang diwakili portal gaya hidup dan hiburannya, mStar ke Pusat Jagaan Al-Fikrah menerusi Majlis Tahunan Iftar Exim Bank 2019 untuk meraikan warga emas di samping memberikan bantuan dan sumbangan kepada golongan itu.

Feizal (kanan) dan Azhar (kiri) menyampaikan replika cek sebagai sumbangan kepada Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah, Mohd Azmi. Foto Chan Tak Kong

Azhar berkata, pusat jagaan yang ditubuhkan pada 2012 itu kini didiami 70 warga emas membabitkan golongan yang tiada waris, orang kurang upaya (OKU) dan mualaf.

"Exim Bank memberi sumbangan berupa dua mesin pengering dan turut menyumbangkan RM5,000 bagi menampung keperluan perbelanjaan Pusat Jagaan Al-Fikrah ini.

"Selain itu, kami juga memberikan cadar, sarung bantal, tuala mandi, kain pelikat dan kain sarung untuk kegunaan harian mereka," katanya.

Beramah mesra bersama penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah. Foto Chan Tak Kong

Beliau berharap dengan bantuan dan sumbangan itu, sedikit-sebanyak dapat meringankan beban penghuni terutama dari segi keperluan asas.

Pada masa ini, Pusat Jagaan Al-Fikrah bergantung sepenuhnya kepada sumbangan badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan sumbangan orang awam bagi menampung perbelanjaan harian.

Antara sumbangan daripada Exim Bank. Foto Iwan Shu-Aswad Shuaib

Penghuni di pusat itu juga menjalankan pelbagai aktiviti seperti menternak haiwan ladang dan ikan keli serta tanaman sayuran bagi menambah pendapatan mereka.

"Usaha ini juga menunjukkan bahawa hubungan antara bank dan komuniti tidak terbatas hanya kepada program kewangan dan perniagaan semata-mata, tetapi turut meliputi pelbagai aktiviti kemasyarakatan," katanya.

Exim Bank menyumbangkan dua mesin pengering berserta keperluan harian kepada penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah. Foto Iwan Shu-Aswad Shuaib

Kempen #kongsinikmat anjuran Exim Bank dengan kerjasama Star Media Group juga akan diadakan di Madrasah Anak-Anak Yatim dan Tahfiz Quran Hashimiah di Batu Caves, Selangor pada 13 Mei dan Madrasah Muiinulislam Tahfizul Quran di Jalan Meru, Klang dan Madrasah Darul Muttaqin Maa' Tahfizul Quraan di Jalan Sentosa, Klang, pada 15 Mei.

Warga kerja Star Media Group khususnya mStar turut turun padang sepanjang kempen berlangsung.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan