PADA setiap Ahad kedua bulan Mei, semua ibu di seluruh Malaysia akan diraikan dan tidak kurang ada yang menerima hadiah daripada anak masing-masing, dan ia semestinya hari yang dinantikan iaitu Hari Ibu. Begitu jugalah hari istimewa ini kepada Wini Heron, 40, walaupun tidak pernah berputus asa dalam impiannya untuk menjadi seorang ibu. Beliau adalah ibu kepada tiga anak angkat yang comel, yang masing-masing mempunyai cerita yang tersendiri. Wini, warganegara Malaysia, dan suami Tim Heron, warga asing, sentiasa berharap mempunyai anak daripada darah daging sendiri tetapi nasib tidak menyebelahi pasangan ini. "Saya amat menyayangi bayi! Semasa kami berkahwin 16 tahun yang lepas, kami memang berharap dapat melahirkan tiga anak dan melengkapkan keluarga kami dengan mengambil seorang anak angkat. Kami percaya dengan pengambilan anak angkat, iaitu memberi tempat perlindungan dan harapan kepada anak yang memerlukan,” katanya. Ketika berusaha untuk mendapatkan anak, Wini mendapati ia sukar berikutan menghadapi beberapa masalah kesihatan. Susulan itu, beliau membuat keputusan mengambil anak angkat, seorang lelaki dan dua perempuan. Bagaimanapun, mereka semua dari berlainan latar belakang dengan dua anak perempuannya itu dilahirkan di sini oleh warga asing. Anak lelakinya, kini berusia 11 tahun, dilahir oleh warga Malaysia, dan sembilan tahun selepas mengambilnya sebagai anak angkat beliau menerima berita daripada rakannya, yang terlibat dalam aktiviti kanak-kanak, bahawa seorang bayi perempuan Nigeria berusia tiga hari dilahirkan di sini. “Beliau memberitahu akan menghubungi kami apabila bayi berkenaan dilahirkan dan kami menunggu berita gembira itu,” katanya dan menambah bahawa panggilan untuk bayi perempuan Nigeria itu hanya muncul selepas lima bulan kemudian. Bayi perempuan itu kini berusia tiga tahun. Selepas 10 bulan, Wini mendapat anak perempuan yang bongsu, yang kini berusia dua tahun menerusi penglibatan dengan Kumpulan Sokongan Anak Angkat di Kuala Lumpur apabila mendengar khabar seorang bagi perempuan Filipino memerlukan ibu angkat. Bagaimanapun, pengambilan setiap anak angkat bukan sesuatu yang mudah apabila Wini dan suami terpaksa melalui pelbagai kerenah untuk dua anak perempuannya kerana ibu mereka warga asing. “Ia satu proses yang panjang dan rumit untuk memperoleh sijil kelahiran mereka tetapi saya tidak pernah berputus asa. Dengan kedua-dua anak perempuan saya bukan warga Malaysia, mereka tidak diberikan kerakyatan lebih-lebih lagi apabila diambil sebagai anak angkat secara haram oleh saya, rakyat Malaysia,” kata Wini berketurunan Cina dan dilahirkan di Sandakan. Selain menghadapi kerumitan kertas kerja, Wini juga terpaksa melalui masalah dengan kaum keluarganya untuk menerima kenyataan beliau mempunyai tiga anak dari pelbagai latar belakang. "Apabila melibatkan bayi Nigeria, kami mengalami lebih banyak tentangan. Ini adalah sukar bagi keluarga dan rakan untuk memahaminya. Bagaimanapun, saya tidak sama sekali menyalahkan mereka,” kata Wini yang mengetuai sebuah NGO Kristian. Menurut beliau, reaksi negatif adalah berikutan kurangnya pendedahan dan pengalaman dalam pengambilan anak angkat dan integrasi dengan kaum yang berbeza. Namun, Wini mampu mengatasi isu itu dengan satu cara - komunikasi. “Penyelesaiannya mudah meskipun sering kali tidak mudah dan ianya pertuturan. Kita hanya perlu bercakap dan bantu mereka memahami,” katanya. Mengimbas kembali, Wini bersyukur melihat ketiga-tiga anak angkatnya itu bersatu sebagai keluarga dan mengubah kehidupan mereka. "Selain ketika menghadapi masa seolah-olah mahu saja saya tarik-tarik keluar rambut dan keluarkan ngauman Godzilla, namun hati saya gembira dan berbangga melihat mereka kini membesar,” katanya dengan gembira sebagai ibu. Bagi Wini, tidak ada penyesalan kerana beliau menyambut Hari Ibu dengan ketiga-tiga anak comel yang mengetahui mereka sentiasa menjadi keutamaan beliau. Kepada ibu yang sedang menimbang untuk mengambil anak angkat, Wini berharap proses berkenaan akan dipermudahkan lagi. Bagi ibu yang masih ragu-ragu untuk mengambil anak angkat. terus yakin dan berdoa, dapatkan sokongan daripada mereka yang lain, katanya mengakhiri temubual. - BERNAMA