HANYA kerana berebutkan harta, dua beradik tergamak menghentak kepala bapa mereka sehingga maut dalam satu pergaduhan di sebuah rumah di Taman Bercham Sinar di Ipoh pada Jumaat. Bagaimanapun, tindakan suspek berusia 21 dan 20 tahun itu memakan diri apabila mereka ditahan polis selepas mangsa, R Pardeep Kumar, 56, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam. Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa dibawa ke hospital dengan menggunakan ambulans sebelum ditempatkan di wad kecemasan untuk rawatan. "Suspek memberi alasan bahawa mangsa telah jatuh katil, bagaimanapun doktor yang merawat lelaki terbabit mendapati terdapat kesan kecederaan di kepala mangsa yang berpunca akibat hentakan. "Seorang daripada anak mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan mengesyaki bapanya itu dipukul dua adik lelakinya sehingga tidak sedarkan diri," katanya. Menurutnya, berdasarkan temubual bersama lelaki berusia 34 tahun itu, dua beradik dipercayai melakukan perbuatan tersebut kerana harta berikutan mangsa bekerja sebagai peniaga. "Mangsa pernah mengadu yang kedua-dua suspek selalu memukul dan mencuri wang simpanannya. Tiada sesiapa yang melihat kejadian tersebut dan mangsa tinggal di rumah berkenaan bersama dua suspek terbabit. "Abang kepada kedua-dua suspek hanya mengetahui kejadian itu setelah dimaklumkan oleh adik perempuannya," katanya. Mazuki berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga Jumaat ini untuk teruskan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Sinar Harian.