suria

Dr Mahathir diiktiraf antara tokoh dunia paling berpengaruh

Dr Mahathir Mohamad. Foto AP

DALAM setahun kepimpinannya sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima pengiktirafan global apabila dinamakan sebagai tokoh berpengaruh dunia.

Pada awal Januari lalu, beliau diiktiraf sebagai Lelaki Muslim Paling Berpengaruh Dunia bagi 2019 oleh penerbitan The Muslim 500, sekali gus mengetuai senarai 500 lelaki Islam paling berpengaruh di dunia.

Pada April pula, Dr Mahathir disenaraikan antara 100 individu paling berpengaruh di dunia pada 2019 oleh majalah berita antarabangsa, ‘Time'.

Dan, awal bulan ini, beliau dinamakan pula sebagai 50 Tokoh Dunia Paling Berpengaruh 2019 oleh portal antarabangsa, Fortune.com.

Ketiga-tiga penerbitan itu menggambarkan Dr Mahathir, 93, sebagai insan luar biasa kerana berjaya menerajui gabungan parti pembangkang, Pakatan Harapan, untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 pada Mei tahun lalu, sekali gus dilantik semula sebagai perdana menteri Malaysia.

BERANI, TEGAS

Selaku perdana menteri tertua di dunia, ramai mengenali Dr Mahathir sebagai pemimpin yang berani dan lantang bersuara, tegas dalam membuat keputusan, amanah dalam berkhidmat serta berdisiplin tinggi terutamanya dari segi ketepatan waktu.

Dengan penampilan sederhana dan tenang, Dr Mahathir amat disegani ramai dan dipandang tinggi sebagai pemimpin berwibawa yang mempunyai daya pemikiran tajam serta sentiasa melontarkan teguran bernas.

Antaranya semasa berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-73 di New York pada 29 September lepas di mana Dr Mahathir dengan lantang mengulangi desakan supaya pembaharuan dilaksanakan dalam badan dunia itu termasuk mencadangkan supaya kuasa veto dimiliki oleh sekurang-kurangnya dua negara kuasa besar dengan disokong oleh tiga anggota bukan tetap Majlis Keselamatan PBB.

Beliau turut menarik perhatian pelbagai organisasi dunia apabila berani menempelak kerajaan Myanmar berikutan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Rakhine selain mencadangkan dunia supaya mengiktiraf Palestin dan pada masa sama, menghentikan tindakan Israel daripada mencabuli undang-undang antarabangsa.

Pada Oktober lalu, Maharaja Akihito berkenan menyampaikan darjah kebesaran ‘The Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers' kepada Dr Mahathir iaitu penganugerahan darjah kebesaran tertinggi Jepun berikutan sumbangan besar perdana menteri dalam memperkukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan Jepun.

DIIKTIRAF DUNIA

Pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Syed Agil Alsagoff berkata Dr Mahathir diiktiraf sebagai pemimpin berwibawa berikutan idea dan pemikirannya mendapat pujian para pemimpin dunia sejak sekian lama.

Dr Mahathir, yang pernah menjadi pengerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), antaranya banyak mengaturkan strategi penyatuan negara-negara Arab daripada terus dibelenggui pengaruh Amerika Syarikat dan Israel.

Kelantangan beliau menentang pencerobohan Israel di bumi Palestin dan pencerobohan Amerika Syarikat di bumi Iraq pada waktu itu, telah memberikan dorongan dan semangat kepada negara-negara Arab untuk menyokong kepemimpinan beliau dan mengiktirafnya sebagai pemimpin dunia yang disegani.

“Kejayaan Dr Mahathir merubah Malaysia dari sebuah negara dunia ketiga menjadi negara membangun menarik minat negara-negara Asia Barat untuk mencontohi kepemimpinan politik beliau. Malah, negara-negara Asia Timur juga menjadikan beliau sebagai insan contoh dalam memperkasa politik dan ekonomi negara-negara tersebut,” katanya.

Syed Agil berkata Dr Mahathir juga dianggap negawaran Islam yang berjaya merubah persepsi masyarakat terhadap kepimpinan beliau dan Malaysia berikutan kelantangan Malaysia mengkritik dasar Myanmar terhadap pelarian Rohingya, pencerobohan Israel di Palestin serta krisis yang berlaku di Syria.

Dalam pada itu, Dr Mahathir dikenang dan diingati sebagai pemimpin Malaysia yang banyak menyalurkan bantuan kepada Bosnia dan Herzegovina ketika negara Balkan itu dilanda peperangan pada 1990-an selain terus memberi sumbangan dalam membangunkan semula negara tersebut.

Kejayaan beliau menyatukan negara-negara membangun dan negara dunia ketiga menerusi majlis perundingan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) serta mencetus penyatuan kerjasama negara-negara dunia ketiga dan negara-negara Islam menerusi OIC membuatkan beliau diangkat sebagai pemimpin dunia yang disegani dan cemerlang dalam arena politik antarabangsa.

Profesor Politik dan Perhubungan Antarabangsa, Sekolah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Azizuddin Mohd Sani berkata Dr Mahathir adalah pemimpin yang konsisten dalam memperjuangkan isu-isu dunia termasuk yang membabitkan penduduk Palestin, Rohingya dan negara-negara membangun atau mundur yang lain.

Sebagai insan yang bencikan kekejaman, katanya, Dr Mahathir pernah menubuhkan Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur bagi ‘membicarakan' pemimpin negara-negara yang terlibat dengan jenayah perang di Iraq pada 2003 yang menyebabkan 1.4 juta orang awam terkorban.

“Beliau juga amat anti dengan pembunuhan kaum. Sebab itulah apabila usahanya untuk mengiktiraf Statut Rom digagalkan, beliau berasa marah kepada pihak yang menjadi punca kepada kegagalan itu.

“Daripada kelantangannya bersuara, kita boleh lihat bahawa Dr Mahathir mahu Malaysia terus menjadi Harimau Asia yang lantang menyuarakan isu-isu global,” katanya.

Pada masa sama, katanya, para pemimpin negara-negara Asia Barat terus menyanjungi dan menghormati Dr Mahathir sehingga menganggap beliau sebagai ‘suara' mereka dalam menentang penindasan Barat.

PENCETUS REFORMASI, TRANSFORMASI

Dr Mahathir juga dikenali ramai sebagai perdana menteri yang berdedikasi, berprinsip teguh dan sentiasa melakukan reformasi dan transformasi dalam pentadbiran negara.

Syed Agil berkata, ia ‘membuka mata' negara lain untuk menjadikan Malaysia sebagai contoh berikutan keupayaan melaksanakan transformasi politik di bawah kepimpinan seorang bekas perdana menteri yang dilantik buat kali kedua menyandang jawatan tertinggi kerajaan itu.

“Dr Mahathir dianggap sebagai pemimpin pencetus reformasi dan transformasi pentadbiran negara sejak kali pertama menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun sebelum ini.

“Sifat kesederhanaan Dr Mahathir dalam menyantuni budaya politik dengan kepentingan rakyat sepanjang tempoh itu menyebabkan rakyat tersentuh dengan kesungguhannya mentransformasikan Malaysia dari sebuah negara dunia ketiga kepada negara membangun yang berjaya,” katanya.

Dr Mahathir juga dianggap sebagai pemimpin berwawasan yang boleh merencanakan Malaysia agar terus maju dalam bidang ekonomi dan sosial.

Semasa kepemimpinannya sebagai perdana menteri keempat Malaysia dari 1981 hingga 2003, Malaysia mengalami transformasi cemerlang khususnya dalam pembangunan dan sosioekonomi serta memacu kejayaan negara menjadi kuasa ekonomi serantau selain berjaya memimpin negara mendepani beberapa krisis kewangan dunia.

Syed Agil berpendapat kesungguhan idea dan pemikiran beliau dari segi pembangunan negara dan ekonomi khususnya semasa membebaskan Malaysia daripada terjelumus dalam krisis ekonomi sekitar 1997 hingga 1998 dengan memperkenalkan penggantungan ringgit di pasaran antarabangsa, menarik perhatian banyak negara sehingga mendapatkan nasihat beliau.

Azizuddin pula berpendapat Dr Mahathir dipilih semula menerajui kerajaan kerana rakyat mahu Malaysia kembali menjadi negara makmur.

“Pengalaman beliau yang masih ditagih. Rakyat Malaysia menghormatinya sebagai negarawan ulung negara.

“Selain romantisisme, rakyat Malaysia yang pernah melihat kemakmuran ekonomi yang dibawanya kepada Malaysia pada dekad 1990-an yakin beliau mampu membawa kembali kemakmuran ekonomi itu kepada negara,” katanya.

Beliau menyifatkan Dr Mahathir sebagai pemimpin unik yang berwawasan dalam mengemudi Malaysia kembali menjadi kuasa ekonomi serantau. - Bernama

Dr Mahathir Mohamad, Fortune

Artikel Lain