suria

Kebakaran kilang, saksi dengar 20 letupan kuat sewaktu berbuka puasa

Foto kejadian itu yang tular di media sosial. Kredit: Facebook Nur Hanis Hashim

DENTUMAN kuat disusuli kebakaran di sebuah kilang plastik memecah suasana ketika tiba waktu berbuka puasa di sekitar Jalan Genting Klang di Kuala Lumpur, Isnin.

Lebih 20 letupan kuat didengari dari kilang di Jalan Perusahaan Kiri, Setapak itu dalam kejadian kira-kira 7 malam itu.

Ketua pengawal keselamatan di sebuah syarikat pengedaran kereta antarabangsa, Omar Dani Buyong, 53, berkata kejadian itu disedarinya apabila ternampak cahaya, dipercayai dari dapur kilang itu ketika tiba waktu berbuka puasa.

“Waktu tu ada nampak cahaya. Kecil sahaja tapi bila saya nak mula minum(berbuka puasa), saya dah lihat api kian marak dan asap hitam mula naik. Saya dah nampak api merebak hingga ke dalam kilang dan waktu itu juga saya terus buat call(panggilan) bomba,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Tambah Omar, letupan demi letupan didengari dan dia mulai risau sekiranya letupan yang dipercayainya berpunca dari gas memasak itu berlarutan hingga ke kawasan pejabatnya.

“Risau saya. Takut meletup, sampai ‘opis'(pejabat) saya. Lebih parah jadinya,” katanya.

Selain menjadi tempat penyimpanan barang-barang atau stor, kilang ini juga mempunyai pekerja-pekerja asing seperti Vietnam dan Nepal yang tinggal di dalamnya,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan dari Ibu pejabat Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur yang mengetuai operasi kebakaran itu, Muhamad Ridhwan Kamarulzaman berkata, pihaknya menerima panggilan dari MERS 999 pada 7.34 malam dan tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.

“Api berjaya dipadamkan pukul 10.32 malam, Isnin dengan kekuatan anggota seramai 80 orang dari lima balai bomba dan penyelamat iaitu Wangsa Maju, Hang Tuah, Cheras, Sentul dan Keramat.

Tiada sebarang mangsa dikenal pasti dan punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita.- BERNAMA

Artikel Lain