suria

“Kami sayang Tok... Al-fatihah”

KENANGAN... Almarhum Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Kalsom bersama cucu-cucu. Sumber Instagram imanabudllah/noorafzan

BERITA kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzam Shah pada Rabu ternyata mengusik emosi ramai, khususnya kerabat diraja dan rakyat jelata di Pahang.

Almarhum yang merupakan Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kembali ke ramahtullah pada usia 88 tahun.

Menerusi Insta Story di akaun Instagram @this.7 milik Tengku Muda Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dapat dilihat perubahan berbanding sebelum ini apabila ia hanya berlatarkan warna putih, sebagai simbolik berkabung terhadap pemergian nendanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Ahmad Shah mangkat

Sultan Ahmad Shah mangkat pada usia 88 tahun. 

Selain itu, salah seorang cucu diraja Pahang, Puteri Afzan Shakira Nabila Kapten Datuk Mohamed Johan menerusi postingnya berkata, pemergian Almarhum pastinya dirindui.

“Bagaimana kami hendak mengisi kekosongan di dalam hati yang ditinggalkan nenda? Terima kasih kerana menjadi nenda yang terbaik untuk kami semua. Kami amat mencintai nenda. 

“Mohon sedekah Al-Fatihah kepada Tok yang saya cintai, raja di hati kami. Inalillahiwainailaihirojiun, Al Fatihah Tok,” katanya menerusi perkongsian di akaun Instagram @afzanshakira. 

Foto Instagram noorafzan.

Sementara itu, cucu Almarhum, Puteri Noor Afzan Mohamad Toufic Ozeir turut meluahkan kesyukuran kerana mempunyai kenangan bersama yang akan dihargainya selama-lamanya.

“Kamu seorang nenda yang paling baik hati dan penyayang, yang diingini mana-mana cucu. Kami syukur ada kamu dalam kehidupan kami, yang menjadi tunjang dan raja kami.

“Saya amat menyayangi dan merindumu. Walaupun kami tidak mendengar suara atau melihat senyuman manis kamu (lagi selepas ini), dari sudut hati kami tahu kamu ada selama-lamanya bersama kami. Semoga kamu ditempat di syurga,” ujarnya menerusi akaun Instagram @noorafzan.

Iman (kanan) bersama Sultan Ahmad Shah (tengah) dan ayahanda, Al-Sultan Abdullah. Foto instagram imanabdullah

Anakanda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah turut berkongsi gambar-gambar kenangan bersama Almarhum dan ayahandanya.

“Saya mencintai kamu selama-lamanya,” ujar Tengku Puteri Iman di laman sosial, @imanabdullah.

Selain paparan putih, cucu-cucu Almarhum turut berkongsi imej hitam sebagai tanda duka cita di atas pemergian insan tersayang yang lebih mesra dengan panggilan Tok.

Puteri Afzan Shakira Nabila bersama nenda. Foto instagram afzanshakira

Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi Rabu.

Jenazah Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja di Pekan selepas solat Zohor pada Khamis.

Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah diputerakan pada 24 Oktober 1930 di Istana Mangga Tunggal, Pekan dan merupakan anakanda ketiga Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah dengan Almarhumah Tengku Ampuan Besar Pahang Raja Fatimah Sultan Iskandar Shah.

Almarhum dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang pada 7 Mei 1974, dua hari selepas kemangkatan ayahanda baginda, selain pernah beberapa kali dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang pada 1956, 1959 dan 1965 kerana sultan berada di luar negara. 

Iman bersama nenda tercinta. Foto instagram imanabdullah

Baginda dikurniakan gelaran Tengku Mahkota Pahang di Istana Seri Terentang, Pekan pada 25 Mei 1944 sebelum dimasyhurkan buat kali kedua pada 29 Mei 1949. 

Baginda juga pernah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh bermula 26 April 1979 hingga 25 April 1984 dan pernah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 21 September 1975. 

Paparan putih tanda duka cita di Instagram @this.7 milik Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Baginda mempunyai lapan anakanda iaitu Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Meriam, Tengku Puteri Seri Teja Pahang Tengku Datuk Muhaini, Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Tengku Datuk Aishah, Al-Sultan Abdullah, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman, Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang Tengku Datuk Shahariah dan Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua'adzam. 

Tujuh daripada lapan anakanda itu merupakan cahaya mata perkahwinan baginda dengan Tengku Ampuan Pahang Tengku Afzan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad yang mangkat pada 29 Jun 1988.

Almarhum kemudiannya bertemu jodoh dengan Sultanah Hajah Kalsom pada 14 Mac 1991.

Artikel Lain