KEPERIBADIAN dan kasih seorang anakanda yang dimiliki Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah menyentuh hati semua yang berada di Balairung Seri Istana Abu Bakar di Pekan, Khamis. Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada 10.40 pagi dengan diiringi anakanda baginda, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, meruntun hati semua yang berada di Balairung Seri apabila baginda dilihat sebak dan kerap mengesat air mata. Suasana bertambah sebak apabila baginda memeluk kekanda-kekanda baginda di hadapan jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Sultan Abu Bakar yang ditempatkan di ruangan tengah Balairung Seri itu. Al-Sultan Abdullah seterusnya berkenan menunaikan solat jenazah yang diimamkan Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman, dan sekali lagi dilihat mengesat air mata sebaik sahaja solat selesai. Baginda seterusnya memeluk dan dilihat menenangkan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang sebelum itu memberi ruang kepada Al-Sultan Abdullah untuk memberi penghormatan terahir kepada almarhum. Almarhum Sultan Ahmad Shah yang merupakan Sultan Pahang kelima mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi semalam, dan Istiadat Pemakaman Diraja dijadualkan selepas Zohor hari ini. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditenangkan ketika menziarahi jenazah Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di Istana Abu Bakar, Khamis. Al-Sultan Abdullah yang difahamkan berada di luar negara semalam, bergegas berangkat pulang ke sini bagi menziarah dan menghadiri istiadat tersebut. Baginda turut berkenan mencemar duli bertemu dengan orang kenamaan, rakyat dan pelajar tahfiz yang berada di Balairung Seri, yang merupakan peribadi baginda untuk menyantuni mereka pada setiap acara di istana. Sepanjang bertemu rakyat, Al-Sultan Abdullah yang berkabung dengan pakaian serba putih juga beberapa kali dilihat mengeluarkan sapu tangan untuk mengesat air matanya. Baginda seterusnya berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Ali yang tiba pada 11.05 pagi bagi memberi penghormatan terakhir dan antara pembesar negara yang hadir ialah Menteri Kemunikasi dan Multimedia Gobind Sigh Deo, Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Setakat pukul 12.05 tengah hari, Istana Abu Bakar terus menerima kunjungan tetamu kenamaan yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada almarhum. Jenazah almarhum dijadualkan akan dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah di sini dengan menaiki Pedati Diraja yang akan ditarik anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia pada 1 tengah hari untuk disolatkan dan dimakamkan di Makam Diraja di sini. -- Bernama