suria

Bayi hidap kanser terbang ke UK, "Mudah-mudahan Ainul kembali ke sini dalam keadaan normal dan sihat”

Ibu bapa kepada bayi Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak (kiri) dan isteri Nurul Erwani Zaidi (tengah, bertudung hitam) mengaminkan doa sebelum berlepas ke London malam ini bagi menjalani pembedahan ketumbuhan Germ Cell Tumor di bahagian mulut ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto: Bernama

"TERIMA kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang doakan Ainul Mardhiah supaya kembali normal seperti bayi lain.

”Itulah luahan hati bapa bayi perempuan itu, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24 sebelum berlepas bersama anaknya ke United Kingdom malam tadi untuk rawatan anaknya yang menghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’.

“Harapan saya doa dari rakyat Malaysia mudah-mudahan Ainul kembali ke sini dalam keadaan normal dan sihat,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa  KLIA Jumaat malam.

Turut mengiringi adalah ibu bayi, Nurul Erwani Zaidi, 24, di mana kesemua mereka dijadualkan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MH002) ke London pada jam 11.30 malam tadi.

Ainul Mardhiah kelihatan tenang dan nyenyak tidur dalam kereta sorong bayi yang ditolak bapanya.

Terdahulu, lebih 50 anggota keluarga mengucapkan selamat jalan kepada pasangan itu di KLIA di sini.

Media sebelum ini melaporkan Dr Nur Amalina Che Bakri, doktor pakar pelatih surgikal warga Malaysia yang bertugas di hospital United Kingdom, bersama sekumpulan pakar pelbagai bidang, bersedia membuat pembedahan terhadap bayi berusia sembilan bulan itu. - Bernama

Ainul Mardhiah, Dr Amalina, UK

Artikel Lain