suria

Lebih 100 pelajar SHAH terima sumbangan Aidilfitri, "Dulu pelajar, kini sudah bekerjaya dan kongsi rezeki"

Remie Arman menyampaikan 'mock cek' kepada Abd Manaf (kanan). Turut kelihatan Pengetua Shah (dua kiri) , Ahmad Zamri Md Isa dan Azaman Ahmad (PIBG Pekan).

SEKIAN lama meninggalkan alam persekolahan ia tidak menjadi halangan buat bekas pelajar-pelajar senior Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH), Pekan untuk ‘membayar’ balik jasa dan ilmu yang ditimba sebelum ini.

Malah tahun ini juga bekas-bekas pelajar tersebut yang bernaung di bawah Persatuan Alumni SHAH ini telah memberi seribu kegembiraan sepada sekumpulan pelajar menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Persatuan Alumni SHAH telah berkongsi kegembiraan bersama 25 orang pelajar terpilih untuk berbelanja kelengkapan Hari Raya Aidilfitri di sebuah gedung pakaian terkenal di Alamoda, Kuantan minggu lalu.

Manakala  85  orang pelajar lagi diraikan dalam majlis berbuka puasa di sekolah tersebut. Pengerusi Persatuan Alumni SHAH, Datuk Remie Arman Muda berkata, pelajar tingkatan satu hingga lima itu diberi peluang memilih sendiri pakaian raya bernilai RM150 seorang hasil tajaan orang perseorangan dan syarikat milik Alumni Shah Pekan.

Sebahagian daripada 25 orang pelajar SHAH memiih kelengkapan Hari Raya Aidilfitri.

“Penerima bantuan terdiri daripada golongan asnaf dan anak yatim.

“Program amal itu adalah tanda keprihatinan kami bagi meringankan beban keluarga pelajar dalam membuat persiapan menyambut Syawal,”ujarnya dalam satu kenyataan media.

Remie Arman juga memberitahu, sudah tiba masanya alumni menyumbang semula kepada sekolah selepas masing-masing berjaya dalam hidup.

“Jika dahulu kita adalah pelajar, sekarang kita sudah pun berkerjaya, dapatlah kita berkongsi sedikit rezeki yang ada untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan dan menceriakan hari raya mereka.

“Ini adalah acara tahunan dan merupakan kali keenam kita mengadakan program sumbangan sempena hari raya namun sebelum ini hanya bagi duit raya,” katanya.

Mohd Syukri (baju putih) bersama pengetua Zamri Md Isa (kiri) serta 25 pelajar SHAH yang terpilih mendapat bantuan kelengkapan raya tahun ini.

Dalam pada itu, Pengarah program Mohd Syukri Mohd Kamal tiga syarikat milik alumni  iaitu LabIVF (M) Sdn. Bhd., Simplepay Gateway Sdn. Bhd (Senangpay), dan ZNS Energy Sdn. Bhd menjadikan program tahun ini bertambah lancar dan memberi kegembiraan kepada mereka yang memerlukannya.

Selain itu, persatuan ini juga turut menyampaikan sumbangan pendidikan kepada dua orang bekas pelajar yang telah mencapai keputusan cemerlang 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2018 yang juga daripada keluarga asnaf.

Abdul Manaf Abdul Aziz dan Muhammad Nur Hariz Mohd Nasir menerima sumbangan RM300 setiap seorang sebagai bantuan persediaan ke peringkat universiti.

Sumbangan asnaf, Shah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain