suria

Songkok gaya Tun M jadi tumpuan menjelang Aidilfitri

Koleksi foto menunjukkan Dr Mahathir membeli songkok di kedai milik Sardi di Alor Setar.

GERAI menjual songkok yang dimiliki Sardi Dahar di tingkat bawah Kompleks Pekan Rabu, di Alor Setar kembali mendapat perhatian orang ramai yang ingin mendapatkan ‘Songkok Gaya Tun’ untuk dipakai pada sambutan Aidilfitri nanti.

Selain tertera nama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Songkok Gaya Tun mempunyai ciri-ciri tersendiri antaranya ringan, boleh dilipat, tidak kecut serta dibuat daripada baldu yang berkualiti sekaligus menjadikan ia pilihan utama pelanggan yang berkunjung ke gerai itu.

Sardi, 61, berkata bagi musim perayaan sebanyak 200 hingga 250 unit songkok itu akan dijual kepada pelanggannya berbanding 150 pada hari biasa.

“Walaupun dijual pada harga RM25 hingga RM120 seunit, ia tetap mendapat sambutan bagi pengguna yang menitikberatkan kualiti.

“Songkok Gaya Tun ini juga telah ditambahbaik dengan meletakkan tanda dagangan ‘Style Tun Collection’ dan ‘Prime Minister of Malaysia’ di sisi kiri dan kanan di bahagian dalam songkok, malah pengguna juga boleh menempa nama sendiri pada songkok tersebut pada harga RM150 seunit,” katanya kepada Bernama di Alor Setar.

Sardi berkata, sejak diberikan kebenaran oleh Dr Mahathir untuk membawa namanya pada songok itu pada 2002, kualiti pembuatan songkok itu sentiasa ditambah baik bagi memberi kepuasan kepada pelanggan.

“Beliau (Dr Mahathir) minta saya jaga kualiti sebab bawa namanya...sebab itu proses pembuatan songkok ini memakan masa demi menjaga kualitinya seperti diminta beliau,” katanya.

Sardi bersama Tun Dr Mahathir yang menggayakan songkok kegemarannya.

Mencerita lanjut mengenai kualiti songkok itu, Sardi yang mula berkecimpung dalam bidang pembuatan songkok sejak berusia 18 tahun berkata Songkok Gaya Tun dihasilkan dengan baldu terbaik selain jahitan tangan yang kemas serta mempunyai corak dalaman yang berbeza berbanding songkok lain yang ada di pasaran.

“Saya pernah ditegur seorang pelanggan agar memberi kelainan sehinggalah beberapa kali percubaan akhirnya tampil dengan reka bentuk yang menawan hati Tun Dr Mahathir hingga perdana menteri menjadi pelanggan tetap di gerai ini,” katanya yang mewarisi kemahiran membuat songkok dari arwah bapanya yang berasal dari Sumatera Barat, Indonesia.

Sardi berkata, memandangkan sambutan yang menggalakan terhadap songkok itu, beliau bercadang untuk memperluaskan pasaran songkok itu ke seluruh negeri ini mulai tahun depan dengan kerjasama sebuah syarikat swasta dari Kuala Lumpur.

“Sekarang ini songkok ini hanya boleh didapati di Kompleks Pekan Rabu, di sini sahaja tapi lepas ini kita akan memasarkan di seluruh negeri ini sebelum diedarkan di seluruh negara dan ke negara jiran termasuk Indonesia kerana nama beliau (Dr Mahathir) memang sudah terkenal di seluruh dunia,” katanya.- Bernama








songkok, Mahathir, Sardi

Artikel Lain