suria

Polis cari 'abang botak' pembuli jalan

Polis kini sedang mencari lelaki yang menghentak cermin kereta menggunakan topi keledar.

POLIS kini sedang menjejaki seorang lelaki yang disyaki suspek kes pembuli jalan dalam insiden di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan pada Selasa.

Dalam kejadian tersebut, seorang wanita berusia 22 tahun sedang memandu di Jalan Kasturi di kawasan perumahan berkenaan kira-kira pukul 5.30 petang apabila dua penunggang motosikal berhenti tiba-tiba di hadapan kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata salah seorang penunggang motosikal itu kemudian memukul cermin kereta mangsa dengan topi keledar dan menuduh mangsa sebagai punca kemalangan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Garangnya! Bengang kena hon, abang botak hayun helmet hentak cermin kereta... semuanya dirakam

"Hentakan itu menyebabkan retakan besar pada cermin depan kereta itu.

"Kami percaya lelaki itu marah apabila mangsa membunyikan hon keretanya selepas dia berhenti tiba-tiba di laluan itu," katanya ketika dihubungi.

Asisten Komisioner Ismadi berkata pihak polis telah mengenal pasti suspek dalam kejadian tersebut.

"Kami akan menjejaki dia dan menangkapnya secepat mungkin.

"Tiada siapa yang boleh membuat undang-undang sendiri, mereka perlu menyerahkan perkara itu kepada polis," katanya.

Video kejadian itu telah menjadi tular di media sosial dengan perkongsian klip pembuli jalanan itu.

hentak cermin kereta, lelaki

Artikel Lain