suria

3 menu, 3 hari berturut-turut! Katerer mengaku perlu 'kuat' siapkan menu terakhir ditempah Faziani, “Kali ini saya nak buat dengan air tangan sendiri”

Kak Nun (gambar kecil) menerima tempahan untuk menu juadah Hari Raya menerusi pesanan daripada Allahyarham Faziani (gambar kiri). Antara yang dipesan adalah nasi dagang (gambar kanan).

SUASANA sayu dan sedih menyelubungi rumah agam usahawan kosmetik, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad di Kampung Paloh dekat Tumpat, Kelantan pada Aidilfitri kali ini.

Juadah hari raya sudah tersedia seperti tahun-tahun sebelumnya, namun terasa sepi tanpa kehadiran pengasas produk kecantikan Dnars yang telah kembali ke rahmatullah pada 18 Mei lalu, akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Siapa sangka Allahyarham sempat meninggalkan pesanan terakhir, meminta tiga jenis menu ditempah awal untuk dijamu kepada tetamu ketika sambutan Hari Raya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jaga kasih sayang, tiada siapa boleh pisahkan kami kecuali takdir Allah” - Pengasas Dnars sempat tinggalkan pesanan sebelum dijemput Ilahi

ARTIKEL BERKAITAN: Anak dedah hasrat pengasas Dnars dalam mesej terakhir sebelum dijemput Ilahi, “Saya mimpi mami datang pakai telekung tersenyum, wajahnya tenang...”

ARTIKEL BERKAITAN: “I am bongsu, adiklah ganti mami” – Qaseh, anak pengasas Dnars

Selain keluarga dan kenalan rapat, individu yang turut terkesan adalah pengusaha katering yang menerima tempahan sebagaimana yang diminta arwah.

Nasi dagang merupakan antara menu kegemaran Allahyarham Faziani. Foto ihsan Kak Nun

Pengusaha katering berkenaan, Zainun Ismail, 54, berkata, pengenalannya bersama Faziani bermula selepas arwah berkunjung ke restorannya, Kak Nun Nasi Berlauk di Jalan Pengkalan Chepa di Kota Bharu, Kelantan.

Sejak itu, dia yang lebih mesra dengan panggilan Kak Nun memberitahu, Faziani menjadi pelanggan tetapnya dengan menu kegemarannya adalah nasi dagang.

“Arwah selalu datang ke kedai saya untuk makan nasi dagang. Kalau dia tak datang makan di kedai saya sekiranya sibuk, dia akan pesan kat pekerjanya untuk bungkus.

“Masih terbayang wajah arwah setiap kali datang ke kedai saya. Arwah akan masuk ke kedai dengan wajahnya yang sentiasa tenang dan tidak lokek dengan senyuman,” katanya kepada mStar.

Allahyarham Faziani pernah berkunjung ke kedai Kak Nun Nasi Berlauk di Jalan Pengkalan Chepa di Kota Bharu, Kelantan.

Kak Nun yang telah menjalankan perniagaan makanan selama 27 tahun memberitahu, tempahan juadah Hari Raya untuk tetamu arwah pada tahun ini telah dipesan menerusi ahli keluarganya.

Wajah arwah yang cantik terbayang dengan senyuman manisnya. Apa yang lebih diingati adalah arwah merupakan seorang yang peramah, suka membantu dan menjamu orang makan.

KAK NUN

Walaupun tidak mengenali rapat Faziani, namun dia mengetahui arwah merupakan seorang yang pemurah dan suka menjamu orang ramai.

“Arwah sebelum ini pernah menempah katering dengan saya untuk majlis-majlis yang diadakan di kediamannya di Kampung Paloh, suka jemput keluarga dan kenalannya.

“Bukan saya saja, arwah biasanya akan membuat tempahan dengan orang lain juga kerana menu-menu yang disediakan masing-masing adalah berbeza,” ujarnya yang berasal dari Wakaf Bharu di Tumpat.

Antara lauk yang sering disediakan Kak Nun.

Bagaimanapun Kak Nun mendedahkan tempahan terakhir daripada arwah merupakan yang pertama diterimanya untuk juadah Hari Raya kali ini.

“Sebelum ini pun menu yang ditempah arwah sama, cuma ini pertama kali arwah membuat pesanan untuk dijamu sempena Hari Raya.

“Saya diberitahu tempahan tersebut adalah nasi dagang pada Hari Raya pertama, nasi berlauk (Hari Raya kedua) dan nasi hujan panas (Hari Raya ketiga),” katanya.

Menyifatkan tempahan kali ini sebagai satu amanah lebih besar daripada kebiasaan, Kak Nun akan menyediakannya dengan cara terbaik seperti perkhidmatannya sebelum ini.

Allahyarham Faziani dikenali sebagai seorang yang pemurah dan suka menjamu orang ramai.

Namun katanya, hanya Tuhan saja yang tahu betapa sayu hatinya dan betapa dia perlu menguatkan dirinya kerana wajah arwah Faziani pasti terbayang di ingatan semasa menyiapkan tempahan.

“Saya menangis bila dapat berita mengenai arwah meninggal dunia, tentu sekali apabila nak menyiapkan tempahan sebaknya tak terkira.

“Wajah arwah yang cantik terbayang dengan senyuman manisnya. Apa yang lebih diingati adalah arwah semasa hayatnya merupakan seorang yang peramah, suka membantu orang dan menjamu orang makan.

“Saya ada 10 pekerja untuk menyiapkan setiap tempahan dan kali ini saya mahu hidangan yang ditempah dibuat dengan air tangan saya sendiri. Moga arwah tenang di sana,” katanya. 

Pada 18 Mei lalu, Faziani, 40, maut di lokasi kejadian dalam kemalangan membabitkan Toyota Estima dengan sebuah lori di Pattani, Thailand.

Ketika kejadian, Allahyarham bersama suami, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, dalam perjalanan ke rumah anak-anak tahfiz untuk menyampaikan sumbangan.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan