suria

Pelantikan Latheefa Koya atas keputusan saya sendiri - Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad.

TUN Dr Mahathir Mohamad berkata pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu dibuat atas keputusannya sendiri.

Perdana Menteri berkata pelantikan berkenaan tidak dibincangkan dengan anggota Kabinet.

"Saya tidak berbincang dengan Kabinet. Biasanya saya membuat keputusan sendiri kerana saya tidak perlu bertanya kepada Kabinet mengenai siapa yang saya pilih," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana, Putrajaya pada Rabu.

Beliau diminta mengulas pelantikan Latheefa, bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 1 Jun, menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan permohonan Mohd Shukri untuk memendekkan tempoh kontrak beliau yang sepatutnya berakhir 17 Mei 2020.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata beliau telah mendengar pandangan pelbagai pihak dan membuat penilaian sebelum membuat keputusan.

"Saya tak payah tanya Kabinet, saya tanya orang-orang lain yang mempunyai pengetahuan tentang karakter-karakter orang ini dan tak perlu Kabinet buat keputusan (kerana) kalau Kabinet buat keputusan, ia menyekatkan (keputusan) saya. Jadi, saya bebas untuk menilai sesiapa yang dicadang dan saya pilih," katanya.

Ditanya mengapa Latheefa dipilih, beliau berkata: "Sebab dia sangat tegas terhadap apa dilihat benar...kita perlukan seseorang yang mempunyai karakter yang sangat tegas," katanya.

Mengenai lantikan itu yang dikatakan bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 di mana lantikan jawatan utama suruhanjaya itu perlu dirujuk kepada Parlimen, Dr Mahathir menganggap ia tidak adil kepada mereka yang mempunyai kelayakan.

"Semasa kami berusaha untuk memenangi pilihan raya, orang-orang ini bekerja keras untuk memastikan kemenangan kami tetapi manifesto kami menyatakan mereka yang bekerja untuk kami tidak boleh memegang sebarang jawatan, itu tidak adil.

"Sudah tentu kami tidak menjadikan mereka ketua jabatan atau syarikat, kita menjadikan mereka anggota lembaga pengarah tetapi dalam kes-kes tertentu jika mereka mempunyai kualiti yang sesuai, kami akan melantik walaupun mereka yang dalam politik," katanya.

Dr Mahathir berkata jawatan dalam setiap agensi kerajaan bukannya satu monopoli dan tidak semestinya hanya individu nombor dua atau tiga dilantik untuk naik ke jawatan nombor satu.

"Ada masanya kita melantik mereka yang di luar...kita mempunyai hak untuk memilih siapa yang kita rasakan layak," katanya.

Dr Mahathir berkata Mohd Shukri telah memaklumkan kepadanya untuk meletak jawatan dari tahun lepas.

"Jadi saya mengambil masa untuk mencari pengganti. Beliau berkata beliau telah terlalu lama di situ," katanya.

Mengulas mengenai ramai jemaah menteri yang dilapor terkejut mengenai pelantikan berkenaan, beliau dengan nada bergurau berkata: "Ada kalanya ia berlaku."

"Sebagai contoh, DAP mencadangkan saya sebagai perdana menteri, ia suatu yang mengejutkan malah saya sendiri, yang kadang kalanya kita mendapat kejutan.

"Mereka (menteri kabinet) tidak boleh berpuas hati dan fikir apa yang mereka minta akan diluluskan," katanya. - BERNAMA

Latheefa Koya, SPRM, Tun M

Artikel Lain