suria

Keluarga Azmin tampil beri sokongan, "Lebih baik bersama, lebih kuat daripada sebelumnya"

Azmin menafikan dirinya dalam video seks yang menjadi tular.

AHLI keluarga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tampil memberi sokongan kepada pemimpin itu yang kini berhadapan kontroversi mengenai satu rakaman video seks.

Isterinya, Datin Seri Shamsidar Taharin, menerusi ciapan di Twitter, meminta supaya Mohamed Azmin kekal bertawakal, takwa dan bersabar menanti petunjuk, perlindungan serta ganjaran Allah.

Shamsidar turut memetik ayat al-Quran dalam surah al-Baqarah yang bermaksud fitnah itu lebih teruk daripada membunuh.

“Amaran! Fitnah itu lebih teruk daripada membunuh. Seorang penganut agama Islam percaya pada firman Allah.

“Dalam keterdesakan mengejar keduniaan, manusia lupa dan ironinya menerima laknat-NYA.

“Teruskan tawakal, takwa dan sabar dalam menanti petunjuk, perlindungan dan ganjaran Allah @AzminAli,” katanya.

Dalam Twitter yang sama, beliau juga membuat ciapan Twitter kedua-dua anaknya atas nama Farah Syazliana dan Mohamed Ameer Shazrin yang menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada bapanya dalam keadaan apa sekali pun.

Menurut Farah, dia menyatakan keluarganya dulu, pernah diuji sedemikian dan kini sekali lagi diuji namun akan laluinya dengan lebih kuat dari sebelum ini.

“Kita pernah lalui perkara seperti ini dahulu, dan kita akan harunginya sekali lagi. Lebih baik bersama, lebih kuat daripada sebelumnya,” katanya.

Bagi Mohamed Ameer Shazrin pula, beliau memberi jaminan akan terus kekal memberi sokongan kepada bapanya kerana kebersatuan keluarga itu dapat menyuntik kekuatan kepada Mohamed Azmin berdepan tuduhan itu.

Terdahulu, Mohamed Azmin, dalam satu kenyataan, menafikan pembabitan beliau dalam satu klip video yang tersebar sejak semalam dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam. -Sinar Harian

Azmin Ali, keluarga, video seks

Artikel Lain