suria

Empat beranak kayuh basikal 12 jam pulang beraya

Abdul Rahim (kiri) bersama ahli keluarga dan seorang rakannya mengambil masa 12 jam menamatkan kayuhan sejauh 107km dari Klang ke Sabak Bernam.

EMPAT beranak mengayuh basikal sejauh 107km untuk pulang beraya meraikan Aidilfitri di Kampung Tebuk Haji Harun, Sapintas, Sabak Bernam.

Keempat-empat mereka ialah, Abdul Rahim Abdul Mahmudin, 55, isterinya, Norazarizah Ahmad Zahri, 46 dan dua anak perempuan mereka, Norfathanah Abdul Rahim, 14, dan Norfasihah Abdul Rahim, 12.

Selain empat beranak itu, rakan sekampungnya, Raja Hassan Raja Bahrin, 41, turut mengayuh basikal bagi mengiringi perjalanan empat beranak terbabit.

Abdul Rahim berkata, kayuhan bermula dari Kampung Perepat, Klang itu memakan masa selama 12 jam untuk sampai ke destinasi.

"Kami memulakan kayuhan pada jam 8 pagi hari raya kedua (Khamis) dan sampai di kampung pada jam 8 malam hari sama.

"Menariknya, kami sempat singgah beraya di rumah rakan sepanjang laluan di Tanjong Karang dan Sekinchan," katanya.

Menurutnya, orang ramai memberikan sambutan luar biasa apabila mereka membunyikan hon dan mengucapkan selamat hari raya.

"Malah ada yang berhenti merakam gambar kenangan dan bersalaman dengan kami," katanya yang pulang berkayuh semula ke Klang dengan berbasikal pada raya keempat.

Menurutnya, idea berbasikal balik kampung itu timbul daripada minat keluarganya yang gemar aktiviti sihat itu.

"Laluan pulang ke Sabak Bernam yang masih dalam proses naik taraf dan pembinaan selalunya sesak terutama pada musim perayaan," katanya.

Ujarnya, kayuhan julung kali itu juga sebagai menyahut seruan kerajaan mengamalkan gaya hidup sihat, membina jati diri, kekuatan fizikal dan mental keluarga.

"Kita juga hendak sampaikan mesej kepada masyarakat mengurangkan kesesakkan lalu lintas dan mengurangkan pencemaran bahan bakar karbon," katanya. - Sinar Harian

kayuh basikal, pulang beraya

Artikel Lain