suria

Ainul mungkin perlu belajar makan guna mulut... “Jika boleh bercakap, dia akan ucap terima kasih kepada semua”

Keadaan Ainul semakin baik dari semasa ke semasa.

BAPA kepada Ainul Mardhiah yang selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya pada Isnin lalu berkongsi berita baik mengenai perkembangan anak sulungnya itu.

Menerusi posting terbaharunya di Facebook, Ahmad Safiuddin berkata anaknya itu akan dipindahkan ke wad biasa pada Jumaat jika keadaannya semakin baik.

"Keadaan Ainul semakin baik. Jika esok keadaannya baik atau bertambah baik seperti hari ini (Khamis), Ainul akan dipindahkan ke wadnya yang biasa.

"Hari ini saya nampak dia senyum. Kuatnya dia!" tulisnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya! Tumor 200g dikeluarkan dari mulut Ainul Mardhiah, "Perjalanan yang cukup emosi..." - Dr Amalina

Dalam pada itu, Ahmad Safiuddin tidak pasti berapa lama Ainul akan menerima rawatan di London.

"Kami tidak pasti. Dengar khabar, mungkin sebulan, mungkin lebih atau mungkin kurang dari sebulan. Mereka di sini mahu pantau Ainul dulu.

Ibu Ainul turut berkongsi berita gembira mengenai keadaan anaknya di Instagram.

"Mereka mahu pastikan bahawa ketumbuhan itu tidak akan datang semula (Semoga Allah jauhkan). Jika mereka yakin yang Ainul bebas dari sebarang perkara yang tidak diingini (berulang), mungkin Ainul boleh balik," katanya.

Jelasnya lagi, dia dan isterinya Nurul Erwani Zaidi boleh memohon untuk Ainul segera dibawa pulang, tetapi mereka mahu segalanya diselesaikan terlebih dahulu demi kebaikan anak sulung mereka itu.

"Biarkan pakar buat kerja mereka, biar mereka putuskan bilakah masa sesuai untuk Ainul keluar dari hospital. Untuk masa terdekat ini, Ainul perlu dijaga dengan rapi, banyak perkara perlu diteliti selepas buat pembedahan.

"Selepas fasa ini selesai, berkemungkinan Ainul akan ada fasa 'belajar makan guna mulut'. Doktor di sini mungkin akan cuba mengajar Ainul makan menggunakan mulut.

"Selain pernah memiliki ketumbuhan, Ainul juga memiliki cleft palate sejak lahir. Surgery untuk cleft palate ini mungkin akan dibuat selepas Ainul dapat berat badan yang sesuai (6kg - 8kg)," katanya.

Nurul Erwani memangku Ainul sebelum pembedahan dilakukan.

Ahmad Safiuddin berkata selepas segala urusan selesai barulah mereka sekeluarga akan pulang ke tanah air.

"Bila semua di atas telah selesai, kami akan bawa Ainul pulang ke tanah air berjumpa dengan tuan puan yang baik hati dengan izinNya.

"Doakan Ainul Mardhiah ya. Saya yakin, jika Ainul boleh bercakap sekarang, mungkin dia akan ucap terima kasih kepada kalian semua. Sekarang ini, ucapan terima kasih itu ditunjukkan melalui kesihatan dan kekuatannya," katanya.

Artikel Lain