suria

Lelaki berkopiah sembah tokong akui menyesal, mohon maaf kepada semua Muslim

Lim berkata, dia menyesal dengan tindakannya itu.

NELAYAN Lim Lip Kok membuat permohonan maaf kepada semua umat Islam di negara ini selepas melakukan ritual di sebuah tokong sambil memakai pakaian seperti seorang Muslim.

Lip Kok, 43, berkata, dia menyesal dengan tindakan itu yang melukakan golongan Muslim dan Melayu serta berjanji untuk tidak mengulanginya.

"Saya minta maaf, saya minta maaf, saya minta maaf. Tindakan saya tidak disengajakan dan tidak berniat menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia serta melukakan perasaan orang Melayu," ujarnya.

Dia berkata demikian sewaktu sidang media yang diadakan di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak.

Permohonan maaf Lip Kok dibuat dalam bahasa Mandarin dan diterjemah oleh Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bagan Selatan, Cheah Han Boon.

Pada 7 Jun, rakaman memaparkan Lip Kok membuat ritual di Tokong Datuk Kong, Taman Piandang Indah sambil memakai kopiah dan batik sarong menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat Muslim negara ini.

Biro Agama Masjid Tanjung Piandang, Mohd Yusop Budin berkata, perbincangan jawatankuasa masjid memutuskan untuk menerima permohonan maaf berkenaan. - The Star.

Lim Lip Kok, tokong, mohon maaf, nelayan

Artikel Lain