suria

Empat lagi mayat orang asli ditemukan

Beberapa agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) menutup satu-satunya laluan masuk ke Kampung Orang Asli Kuala Koh, di Felda Aring 10 yang telah ditutup kepada orang awam dan petugas media sejak awal pagi ini ketika tinjauan pada Khamis. Foto: Bernama

EMPAT lagi mayat ditemukan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan lapan mayat ditemui dalam operasi pencarian 12 Orang Asli Suku Batek yang dipercayai mati akibat wabak penyakit di kawasan perkampungan Kuala Koh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berkata jantina kesemua mayat yang baru ditemukan itu belum dikenal pasti.

Beliau berkata operasi mengesan baki empat mayat akan diteruskan ke kawasan pedalaman hutan.

"Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara), PDRM (Polis Diraja Malaysia), Unit Forensik dan sebagainya telah masuk ke kawasan hutan untuk mengenal pasti point-point mayat-mayat itu dikebumikan.

"Kawasan itu agak rumit untuk masuk dan perlukan penggunaan bot untuk kawasan yang lebih dalam," katanya kepada pemberita di Ladang Aring 10 pada Khamis.

Pada Rabu, polis menemui empat mayat yang dipercayai Din Hamdan,18, Safia Papan,18, Fayah Papan,19, dan Jais Keladi, 55.

Mayat Din ditemui di bawah pokok dalam keadaan tulang berselerak manakala tiga lagi mayat ditemui di atas para pada pokok dan ditutupi dengan tikar.

Terdahulu, beliau melawat Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu bagi melihat keadaan Orang Asli yang dirawat di situ.

Sementara itu, ditanya sama ada penduduk Orang Asli di kawasan itu perlu dipindahkan ke tempat lain, beliau berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian memandangkan keadaan ketika ini adalah terkawal.

"Keadaan masih terkawal...dan kami takut mereka mungkin tidak berasa selesa jika kita pindahkan mereka...kami tak mahu beri tekanan kepada mereka (Orang Asli) dan membuatkan mereka lari jauh ke dalam hutan," katanya.- Bernama

Mayat, orang asli, Kuala koh

Artikel Lain