suria

Disangka hilang, pelajar MTD rupa-rupanya dirompak “Tiba-tiba ada orang tak dikenali tarik saya masuk dalam kereta”

Harraz masih berada dalam keadaan trauma selepas insiden rompakan Isnin lalu.

"ALHAMDULILLAH saya selamat," demikian kata pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang ke ibu negara pada Selasa lalu.

Muhammad Harraz Hilmi Mohd Shukri dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas gagal dihubungi sebaik tiba di Putrajaya dengan menaiki bas dari Kota Bharu, Kelantan.

Remaja berusia 16 tahun itu ketika dihubungi mStar berkata, pada hari kejadian dia tiba di Putrajaya dan kemudiannya mengambil ERL ke KL Sentral untuk pulang ke MTD di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN“Mesej dah sampai Putrajaya, nak makan sekejap, lepas tu langsung tiada berita” - Pelajar Maktab Tentera Diraja hilang, bapa buntu

Malang tidak berbau kerana ketika sedang berjalan menuju ke KL Sentral, tiba-tiba Harraz telah ditarik ke dalam kereta oleh orang yang tidak dikenali.

"Saya dirompak. Ada sebuah kereta mendekati saya dari belakang, dan tiba-tiba keluar seorang yang tidak dikenali menarik saya masuk ke kereta.

"Mereka rampas telefon bimbit dan beg duit yang diletak dalam poket seluar.

Harraz tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian rompakan Isnin lalu.

"Selepas itu saya dilepaskan tanpa mengalami sebarang kecederaan," ceritanya kepada mStar mengenai pengalaman ngeri yang menimpanya Isnin lalu.

Jelas Harraz, ketika insiden itu menimpa dirinya, dia agak buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

"Mujur dalam beg sandang saya ada kad ATM yang mempunyai duit RM50, jadi dengan duit itu saya beli tiket balik semula ke kampung (Kota Bharu).

"Ibu bapa memang terkejut sebaik sahaja nampak saya tiba di rumah pagi semalam (Rabu)," jelasnya yang masih trauma.

Tambah Harraz, susulan kejadian rompak yang menimpanya itu, dia terpaksa mengambil keputusan untuk bercuti bagi menenangkan fikiran.

"Sekarang saya masih di kampung. Kejadian ini sudah dimaklumkan kepada MTD dan saya diberi kelonggaran untuk tenangkan fikiran.

"Manakala kes ini juga masih dalam siasatan pihak polis," jelas anak ketujuh daripada sembilan beradik ini.

Dalam masa sama, Harraz turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mencarinya ketika dia dilaporkan hilang.

"Jadikan insiden ini sebagai iktibar kepada semua agar berwaspada dan pastikan ada peneman apabila berjalan di ibu kota," katanya.

Harraz, Hilang, Rompak

Artikel Lain