suria

Rumah 3 tingkat terbakar, 3 sekeluarga maut

Gambar hiasan

TIGA sekeluarga maut dalam insiden kebakaran rumah teres tiga tingkat di Kampung Lindungan, Petaling Jaya awal pagi Jumaat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norizham Mohd Nudin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 2.47 pagi sebelum mengerahkan anggotanya ke tempat kejadian.

"Pihak bomba bergegas menghantar 20 anggota dan tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya serta BBP Subang dan tiba di tempat kejadian 12 minit kemudian.

"Insiden berkenaan membabitkan dua lelaki dan seorang wanita yang didapati telah terperangkap. Seorang mangsa turut rentung,” katanya ketika dihubungi.

Norizham berkata kebakaran terbabit bermula dari tingkat bawah kediaman itu yang terbakar 100 peratus manakala siasatan awal juga mendapati rumah teres dua tingkat itu telah diubah suai kepada tiga tingkat.

Ketiga-tiga mangsa bagaimanapun disahkan maut dalam insiden kebakaran itu oleh pihak hospital sementara kesemua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.- Bernama



Kampung Lindungan, bomba, maut

Artikel Lain