HAZIQ Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku sebagai lelaki dalam satu video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri dibebaskan dengan jaminan polis dengan seorang penjamin kira-kira pukul 5.45 petang Sabtu. Susulan itu, peguamnya Ramesh Sivakumar memberitahu anak guamnya itu tidak dikenakan sebarang sekatan untuk ke luar negara setakat ini. "Pegawai penyiasat memberitahu saya bahawa Haziq tidak akan direman seperti yang kami bimbangkan tetapi dia dibebaskan dengan jaminan polis. "Dia boleh pergi ke mana saja tanpa sekatan tetapi jika mereka memerlukannya untuk kembali, dia akan kembali untuk memberi kerjasama," katanya. Selesai dibebaskan, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong yang memakai kemeja T biru itu dibawa keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menaiki Proton Persona bersama peguamnya. Ramesh turut memaklumkan, Haziq berada dalam keadaan baik sepanjang tempoh penahanannya dan memberikan kerjasama baik kepada polis dalam siasatan kes itu. Terdahulu, Haziq dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan doktor. Pada Jumaat, Haziq ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). Haziq ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, ketika berada di terminal pelepasan antarabangsa untuk berlepas ke Manila, Filipina.