suria

Haziq dibawa ke IPD Dang Wangi

Barisan peguam Haziq turut hadir di IPD Dang Wangi.

HAZIQ Abdullah Abdul Aziz iaitu lelaki yang mengaku terlibat dalam video intim dengan individu mirip menteri Kabinet dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wang petang Sabtu.

Difahamkan Haziq, 27, dibawa ke balai polis untuk proses pembebasan dengan jaminan polis.

Haziq yang berpakaian serba gelap dan bertopi tiba dengan kenderaan polis kira-kira pukul 4.25 petang dengan keadaan tangan bergari sambil diiringi beberapa anggota polis.

Ketua AMK Santubong itu dibawa ke IPD Dang Wangi dari Hospital Kuala Lumpur selepas menjalani pemeriksaan.

Terdahulu sejak pagi Sabtu berlaku sedikit kekeliruan lokasi Haziq akan dibawa selepas menjalani pemeriksaan di HKL untuk siasatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan luar tabii.

Petugas media dan kumpulan peguam yang mewakili Haziq dimaklumkan tiga lokasi berbeza iaitu Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Mahkamah Jalan Duta dan di IPD Dang Wangi.

Sehingga kini Haziq masih berada di IPD Dang Wangi dan petugas media masih menunggu sebarang perkembangan lanjut.

Haziq dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang Khamis.

Dia ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, semasa berada di terminal pelepasan antarabangsa untuk berlepas ke Manila, Filipina.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, dia ditahan bagi membantu siasatan mengikut empat peruntukan seksyen.

Sebelum ini Haziq digantung tugas sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin. - Sinar Harian

Artikel Lain