suria

29 pelajar di Pasir Gudang terima rawatan akibat sesak nafas

Pelajar-pelajar di Pasir Gudang dilaporkan mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas selepas terdedah dengan pencemaran udara di kawasan itu. Foto: Bernama

SERAMAI 29 pelajar di sekitar Pasir Gudang yang mengalami gejala sesak nafas mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru sejak petang Khamis hingga 10 pagi Jumaat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 16 orang adalah dari Sekolah Agama Taman Mawar, iaitu 14 pelajar dan dua dewasa manakala 13 orang lagi dari Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4.

"Seramai 14 mangsa telah dirawat sebagai pesakit luar dan 15 mangsa diberi rawatan di HSI, dengan enam daripadanya dimasukkan ke wad. Keadaan kesemua pesakit adalah stabil. Tiada kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kematian dicatat.

"Jabatan Kesihatan Negeri Johor masih melakukan pemantauan di lapangan berikutan kejadian yang berlaku. Klinik Kesihatan Pasir Gudang turut dibuka pagi ini bagi merawat mangsa-mangsa lain yang mungkin terkesan susulan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan Jumaat.

Dr Noor Hisham turut menasihati orang ramai agar segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala sesak nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.

Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam menguruskan kejadian itu dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke masa.

PAda Khamis Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan kejadian pelajar sekolah mengalami gejala sesak nafas di Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang.

Panggilan kecemasan diterima pada 3 petang dan pasukan bantuan kecemasan dari Hospital Sultanah Aminah, HSI dan Klinik Kesihatan Pasir Gudang digerakkan untuk memberi bantuan.Operasi bantuan rawatan kecemasan tamat pada 8 malam tadi, bagaimanapun, punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti. -Bernama

Pelajar, pasir Gudang, Sesak nafas

Artikel Sebelum

Artikel Lain