suria

Isu pakaian seragam tular, Latheefa kata perangi rasuah lebih penting

Isu berkaitan butiran pakaian seragam Latheefa sebelum ini diperkatakan di media sosial dan turut dikritik beberapa pemimpin pembangkang. FOTO: Sinar Harian.

SELEPAS beberapa hari isu mengenai pakaian seragamnya dikritik beberapa pihak, Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya tampil memberi penjelasan pada Sabtu.

Menurut Latheefa, beliau menyambut baik dan berterima kasih kepada mereka yang telah menunjukkan minat yang tinggi terhadap pakaian seragam yang dipakainya itu.

“Secara telus saya mengaku, saya baru sahaja mempelajari berkenaan lencana pangkat, bar ribbon dan pemakaian seragam.

“Prioriti segera saya sejak mengambil alih tugas adalah melibatkan beberapa kes rasuah yang serius dan bukanlah butiran pemakaian seragam saya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai pakaian seragamnya yang dipakainya itu, Latheefa berkata, pertamanya, bar ribbon yang dikepilkan ke pakaian beliau itu adalah berdasarkan Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya SPRM Bab A (Dasar), Bil 1 Tahun 2012, yang telah mengarahkan bahawa seseorang Ketua Pesuruhjaya berdasarkan jawatannya dikehendaki memakai bar ribbon seperti yang disenaraikan.

Jelasnya lagi, walaupun pada asasnya ianya adalah betul dan boleh diterima, namun terdapat sedikit kekhilafan dalam bar ribbon yang kini telah pun diperbetulkan.

“Keduanya, saya tidak memakai pingat sebagaimana yang diperkatakan oleh beberapa pihak.

Bar Ribbon ini tidak harus dikelirukan dengan pingat atau darjah kebesaran yang dikurniakan dari pihak Istana, samada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat Negeri.

“Butiran lain di atas baju seragam saya adalah lencana-lencana pangkat yang saya dikehendaki memakai sebagai Ketua Pesuruhjaya dan adalah berdasarkan perintah tetap,” katanya.

Terdahulu, isu berkaitan butiran pakaian seragam Latheefa sebelum ini diperkatakan di media sosial dan turut dikritik beberapa pemimpin pembangkang.

Isu 'Bintang Kebesaran' itu timbul selepas Latheefa tampil memakai pakaian seragam dalam satu majlis rasmi baru-baru ini.

Tidak hanya itu, kritikan termasuk di alam maya berkaitan jumlah pingat dipakai Latheefa serta berkaitan bar perkhidmatan yang yang hampir penuh.

Bekas pemimpin PKR menjawat jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 4 Jun lalu menggantikan Mohd Shukri Abdull yang menamatkan kontraknya lebih awal.- Sinar Harian.

Latheefa Koya, pakaian seragam, SPRM

Artikel Lain