suria

3 lelaki bertopeng 'kantoi' curi 400 ekor ayam mentah

Perbuatan mencuri ayam mentah yang tular di media sosial. Gambar kecil, Adzli.

TINDAKAN curi dan menjual kembali ayam mentah akhirnya terbongkar setelah video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil laporan polis dibuat peniaga mendapati premis menjual ayam dipecah masuk menyebabkan 400 ekor ayam hilang.

Menurutnya, hasil CCTV yang dirakam, pihaknya telah mengenal pasti dua lelaki berusia 20 dan 25 tahun disyaki terlibat dalam kes terbabit.

"Semalam, jam lebih kurang 4 pagi, semasa peniaga sampai di tempat kerja di premis jual ayam di Taman Kempas, Sungai Petani, Kedah, mendapati kedai dalam keadaan gelap sedangkan mereka sentiasa memasang lampu ketika menutup kedai.

"Setelah pemeriksaan lanjut dibuat, mereka telah menjumpai fius elektrik yang telah dicabut dipercayai telah dipecah masuk.

"Pemeriksaan lanjut mendapati lebih kurang 400 ekor ayam mentah telah hilang," katanya.

Menurutnya, peniaga akhirnya membuat semakan CCTV dan mendapati tiga lelaki memakai topeng muka menaiki kereta pacuan empat roda warna kelabu telah memberhentikan kereta di depan kedai dan telah mengambil ayam tersebut pada jam lebih kurang 2.58 pagi.

Beliau berkata, lelaki berusia 25 tahun dari Kampung Banggol Lalang Guar Chempedak manakala seorang lagi berusia 20 tahun dari Batu 17, Padang Lumat, Yan mengaku melakukan perbuatan itu.

Ayam mentah yang dikesan berada dalam kenderaan pacuan empat roda.

Seorang daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan menceroboh manakala seorang lagi berusia 20 tahun tiada rekod lampau.

Menurut Adzli, tangkapan dibuat di kedai memproses ayam di Guar Chempedak kira-kira jam 6.30 pagi.

"Dua lelaki didapati sedang menyusun ayam di atas meja batu manakala kenderaan pacuan empat roda yang disyaki digunakan suspek telah ditemui di sebelah kedai.

"Kita telah buat pemeriksaan di atas meja batu di mana terdapat 30 ekor ayam yang telah diproses.

"Kemudian kita buat pemeriksaan di belakang bonet pacuan empat roda tersebut di mana terdapat 15 ekor ayam yang telah diproses.

"Manakala di dalam dua buah tong ais warna kuning yang terletak di belakang meja batu kedai terdapat 355 ekor ayam.

"Hasil soal siasat awal kedua-dua suspek mengaku mencuri ayam di lokasi berkenaan bersama seorang lagi rakan yang masih bebas," katanya.

Kerugian dianggarkan berjumlah RM4,500 dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Menurut Adzli, polis masih giat mengesan seorang lagi suspek yang terlihat dalam kes terbabit. - Sinar Harian.

Artikel Lain