suria

Pelajar Malaysia sertai maraton di UK meninggal dunia

Wil Sern Ong.

SEORANG rakyat Malaysia berusia 21 tahun rebah sebelum meninggal dunia semasa bertanding dalam Separuh Maraton Swansea di Swansea, Wales pada Ahad lalu.

Mangsa, dikenali sebagai Wil Sern Ong, rebah hanya beberapa meter dari garisan penamat dalam acara 21 kilometer (km) di Adelaide Street kira-kira pukul 8.20 malam waktu tempatan pada Ahad.

Ong yang berasal dari Petaling Jaya menyambung pengajian dalam bidang kejuteraan alam sekitar di Universiti Swansea.

BBC melaporkan Ong dibawa ke Hospital Morriston selepas anggota pertolongan cemas cuba menyelamatkannya.

Laporan BBC turut menyebut bahawa ia merupakan kali kedua Ong menyertai acara itu, selepas menyempurnakan separuh maraton 21km pada 2018.

BBC memetik keluarga Ong sebagai berkata: "Kami amat berdukacita dengan pemergian mengejut dan tragik Wil Sern Ong.

"Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa sedihnya buat keluarga dan semua yang mengenalinya.

"(Ong) adalah sebutir permata yang sukar ditemui, seorang yang bersopan-santun, baik hati dan suka menolong orang.

"Dia banyak memberi impak dan inspirasi sepanjang hayatnya hampir 21 tahun.

Persatuan Universiti Swansea Malaysia (Masu) turut mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan Ong. - The Star

Wil Sern Ong, maraton, Swansea

Artikel Lain