suria

Tragedi rumah terbuka Aidilfitri, budak 2 tahun maut selepas terjatuh dalam kolam ikan

Mangsa ditemui dalam kolam berkenaan dalam keadaan tertiarap.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas hampir 12 jam menerima rawatan akibat terjatuh dalam sebuah kolam ikan ketika menghadiri rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kampung Labu Kubong, Lubuk Merbau, di Kuala Kangsar pada Ahad.

Muhammad Aqil Irfan Muhammad Haffiez disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada jam 1 pagi Isnin.

Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dalam kolam di tepi rumah berkenaan oleh seorang saudaranya berusia 16 tahun sekitar jam 2.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, ketika kejadian, ibu mangsa berusia 38 tahun sedang menikmati jamuan hari raya di rumah terbabit tanpa menyedari anaknya ditinggalkan tanpa pengawasan.

“Siasatan awal mendapati ibunya berada dalam rumah manakala mangsa bermain dengan saudara mara yang lain sebelum salah seorang anak saudara lelakinya terlihat mangsa dalam keadaan tertiarap dalam kolam tersebut.

“Seorang jururawat yang berada di tempat kejadian bertindak menyelamatkan mangsa dengan memberi bantuan pernafasan (CPR) sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar dengan menaiki ambulans,” katanya.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat lemas.

“Siasatan tempat kejadian mendapati kolam tersebut terletak empat meter dari pintu utama rumah berkenaan.

Ia merupakan kolam hiasan untuk membela ikan yang mempunyai kedalaman 0.6 meter serta tidak berpagar.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Jenazah mangsa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pulau, Padang Rengas. - Sinar Harian.

Artikel Berikut

Artikel Lain