suria

Lelaki maut selepas jatuh atas kereta dari tingkat 14

Mayat mangsa terjatuh di atas sebuah kereta MPV.

SEORANG lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat 14, Blok E, Pangsapuri Medan Cahaya, di Petaling Jaya pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 tengah hari, mayat mangsa ditemui terperangkap dalam sebuah kereta jenis Nissan Grand Lavina yang diletakkan di kawasan parkir bangunan pangsapuri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota polis peronda (MPV) Balai Polis Petaling Jaya dihantar ke lokasi.

Menurutnya, anggota polis yang tiba mengesahkan penemuan mayat mangsa berada dalam kereta tersebut dikenal pasti sebagai Sri Kumaran Malovagam.

“Mangsa berusia 32 tahun itu terjatuh dari bangunan pangsapuri dan mengenai sebuah kereta, mayatnya terperangkap dalam kenderaan tersebut," katanya.

Mohd Zani berkata mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

terjatuh, maut, tingkat 14

Artikel Lain