suria

“Dia bawa sebiji durian tapi tak sempat jamah” - Anak maut kemalangan, paha kanan hampir putus

Mangsa tidak sempat menjamah durian yang dibawanya selepas motosikal ditunggang bertembung dengan kereta.Gambar kecil: Nik Nur Afera Nordin

"DIA bawa sebiji durian sebab nak makan dengan mak sepupunya tapi tak sempat nak jamah," kata Nordin Mat Yusof, 56, bapa kepada pembantu kedai makan, Nik Nur Afera Nordin, 26, yang maut dalam keadaan paha sebelah kanan hampir putus selepas terlibat kemalangan jalan raya.

Kemalangan itu berlaku di Kilometer (KM) 18 Jalan Dungun-Bukit Besi di Kampung Bukit Merah, Padang Pulut, di Dungun di Terengganu, kira-kira pukul 4.30 petang Sabtu.

Mangsa yang juga anak bongsu daripada empat beradik ketika kejadian dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Burung Baru, Padang Pulut untuk ke tempat kerjanya di Bukit Besi.

Mangsa yang baru setahun berkahwin tercampak ke atas jalan dan mengalami kederaan parah termasuk lutut hancur dan hampir putus paha.

Lebih menyayat hati, durian yang dibawa mangsa turut dilihat tergolek tidak jauh daripada motosikalnya yang hancur.

Mangsa menghembuskan nafas akhir kira-kira jam 6.18 petang hari ini di Unit Kecemasan Hospital Dungun ketika sedang menerima rawatan.

Nordin berkata, dia sempat mengajar anaknya mengucap dua kalimah syahadah sebaik tiba di lokasi kejadian selepas dimaklumkan kemalangan menimpa anaknya.

"Sebelum pergi kerja dia ada minta sebiji durian dengan ibunya katanya nak makan di tempat kerjanya.

"Lokasi kejadian cuma kira-kira 100 meter dari rumah," kata buruh itu sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun.

Katanya, dia sekeluarga tidak menduga anaknya akan 'pergi' kerana tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

Saksi tempat kejadian, Mohd Amri Yusof, 34, berkata, dia terkejut melihat paha mangsa hampir putus sebaik melalui lokasi kejadian sejurus beberapa minit kemalangan berlaku.

"Masa tu mangsa terbaring atas jalan dalam keadaan kakinya berlumuran darah dan ada seorang mak cik ajarnya mengucap," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah yang mengesahkan kejadian itu berkata, pemandu kereta terbabit yang merupakan pegawai penjara dan berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. - Sinar Harian

durian, maut

Artikel Lain