SEORANG wanita terpaksa melahirkan bayinya di dalam kereta di perkarangan tempat letak kereta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, Perlis pada Isnin sebelum sempat dibawa ke hospital. Menceritakan detik cemas itu, ibu mentua kepada wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Toyibah berkata dia menjadi ‘bidan terjun’ menyambut cucu perempuannya pada kira-kira 12 tengah hari sebelum ambulans tiba. Toyibah, 41, berkata dia menerima panggilan daripada anak lelakinya, Mohd Ikhwan Mohd Sibi, 22, pada kira-kira 11 pagi memaklumkan isterinya, Anis Syabila Roslan, 21, sakit hendak bersalin. Ketika dihubungi, Toyibah berkata dia dan suaminya bergegas menuju ke rumah menantunya itu di Pauh sebelum Anis Syabila dibawa dengan kereta menuju ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF). "Belum sempat sampai ke HTF, menantu saya beritahu dia dah nak bersalin dan suami saya pandu kereta masuk ke IPD Arau, namun belum sempat apa-apa, menantu saya melahirkan bayi perempuan di tempat duduk belakang kereta Perodua Kancil dengan bantuan kami," kata Toyibah dengan nada syukur. Menurutnya, bayi itu kemudian dibawa terus ke HTF sebaik ambulans tiba. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau Supt Nanda Maarof ketika dihubungi mengesahkan insiden itu.-Bernama