suria

Misi Sirim jadi penyelamat, “Pantai bersih, penyu terpelihara!”

Prof Dr Ahmad Fadzil (kanan) melakukan pemasangan papan informasi mengenai penyu di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Segari di Lumut, Perak. Turut serta Zaki (hadapan, tiga dari kiri).

JIKA pantai kotor, bukan sahaja sakit mata yang memandang, kita nak datang bersantai pun tak sudi.

Namun, lebih kasihan buat habitat penyu, jika pantai penuh sampah-sarap maka tentu sekali penyu tidak akan bertandang untuk bertelur!

Jadi, misi Sirim hanya satu – mahu mewujudkan kawasan pendaratan penyu yang lebih selamat menerusi pembersihan pantai.

Dengan semangat yang berkobar-kobar dan nilai murni untuk memulihara alam sekitar, kira-kira 130 sukarelawan daripada Sirim dan masyarakat setempat bersama-sama membersihkan pantai dan menanam pokok di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Segari di Lumut, Perak.

Aktiviti tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sirim, bagi memupuk kesedaran dalam kalangan kakitangan dan ahli keluarga mereka mengenai betapa pentingnya kebersihan pantai khususnya untuk kawasan pemuliharaan penyu.

“Kami bukan sahaja berjaya membersihkan kawasan pantai, malah turut menanam kira-kira 50 pokok ambung-ambung bagi membolehkan penyu bertelur,” kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim, Prof Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani.

“Walaupun syarikat kami memberi lebih tumpuan kepada pembangunan teknologi, kami juga percaya adalah penting untuk menjaga alam sekitar,” katanya sambil menambah aktiviti itu juga dapat mempertingkatkan kerja berpasukan dalam kalangan kakitangan Sirim.

Aktiviti pembersihan pantai amat penting demi melindungi habitat penyu.

Selain program CSR untuk alam sekitar, Prof Dr Ahmad Fadzil berkata, Sirim turut membangunkan sistem mesra alam yang mengubah sisa makanan kepada bio-gas.

“Kami menghasilkan sistem pencernaan anaerobik di mana sisa makanan yang dikumpulkan dari pusat penjaja, diproses menjadi tenaga elektrik untuk kegunaan tempatan.

“Pada masa ini, sistem tersebut turut dilaksanakan di USJ, Subang Jaya dan Sepang di Selangor serta Port Dickson di Negeri Sembilan.

“Kami juga mencipta bekas pembungkusan yang diperbuat daripada bahan terbiodegradasikan,” katanya.

Ketika pembersihan pantai dijalankan, sampah dikumpul oleh sukarelawan Sirim termasuk beg plastik, botol, belon dan barangan plastik.

“Ia akan mengambil masa kira-kira 450 tahun untuk mengurai plastik, yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kehidupan marin,” ujar Prof Dr Ahmad Fadzil.

“Penyu makan ubur-ubur dan beg plastik sering kali disalah anggap oleh haiwan itu sebagai makanan mereka. Sebab itulah pentingnya kebersihan pantai, bagi mengelakkan daripada sisa-sisa plastik masuk ke laut,” tambahnya. 

Pasukan sukarelawan melakukan pembersihan pantai.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Perak, Zaki Mokri yang mana kakitangannya turut menyertai aktiviti pembersihan tersebut, amat mengalu-alukan program CSR Sirim di kawasan perlindungan penyu.

“Ini menunjukkan tahap kesedaran orang ramai tentang perlindungan dan habitat penyu semakin meningkat.

“Secara purata, kira-kira 20 syarikat yang menjalankan program CSR mereka di sini setiap tahun,” katanya, sambil menambah bahawa sehingga Jun tahun ini, kawasan perlindungan itu telah memperoleh kira-kira 7,000 telur penyu.

Sukarelawan, Mohamad Syahrul Amir Johar, 25, memberitahu, dia menyertai program itu untuk melakukan pemuliharaan penyu.

“Saya baru bekerja dengan Sirim pada tahun ini dan program ini membolehkan saya bertemu dengan rakan-rakan sekerja, selain menunaikan sumbangan saya buat alam sekitar.

“Saya berharap Sirim akan melakukan aktiviti yang sama pada masa akan datang, malah lebih besar yang menghimpunkan lebih ramai kakitangan Sirim,” katanya.

Penyu memerlukan kawasan pendaratan yang selamat untuk bertelur.

Siapa sangka aktiviti pembersihan pantai demi perlindungan habitat penyu turut disertai pelajar sekolah yang menemani bapa saudaranya dalam misi itu.

Menyifatkan aktiviti tersebut adalah wajar dilaksanakan, Arfan Bukhari Abdullah, 11, berharap untuk menyertai lebih banyak aktiviti seumpama itu pada masa akan datang.

“Kita bukan sahaja menyediakan persekitaran yang lebih baik untuk penyu bertelur menerusi aktiviti pembersihan pantai, bahkan mewujudkan kawasan yang lebih selesa untuk menikmati keindahan pantai.

“Saya berharap untuk melihat lebih banyak aktiviti pembersihan pantai di sini dan pantai-pantai lain di Malaysia,” katanya yang teruja menyertai aktiviti sukarelawan itu.

Dalam pada itu, Prof Dr Ahmad Fadzil berkata, Sirim merancang untuk menjalankan satu lagi aktiviti seumpama itu pada masa akan datang.

“Maklum balas yang kami terima susulan aktiviti pembersihan itu amat menggalakkan. Justeru, kami mempertimbangkan untuk mengadakan program sedemikian pada masa akan datang,” katanya.

Artikel Lain